salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Thursday, May 21, 2015

A vs A

Di dalam surah Al-qasas ayat 14-19 ada menceritakan situasi Nabi Musa membantu salah seorang daripada kelompoknya iaitu dari kalangan bani israil yang dizalimi.

Tanpa niat untuk membunuh tetapi cuba membela orang yang lemah, pemangsa yang daripada golongan firaun itu akhirnya mati dipukul oleh Nabi Musa.

Sungguh ia adalah suatu penyesalan bagi seorang manusia yang tidak berniat ke arah itu.

Maka, sejak daripada kejadian itu, Nabi Musa alaihissalam sering mengulangi kata-kata penyesalan dan memohon ampun pada Tuhan.

"Sesungguhnya aku telah membunuh jiwa yang yang tidak diperintahkan kepadaku untuk membunuhnya" - riwayat bukhari

Dan untuk kali yang kedua Nabi Musa menemukan lagi orang yang sama dengan semalam telah dianiayai lagi oleh kaum firaun yang lain. Dia meminta bantuan dari Musa alaihissalam.

Dengan kekuatan yang Nabi Musa memiliki,hampir sahaja dia terbunuh pemangsa dari kaum firaun itu, namun apabila dia ditegur,

"adakah kau ingin membunuh orang seperti semalam?"

Segera dia menghentikan perbuatannya.

Hakikat sebenar, Nabi Musa alaihissalam, hanya ingin membantu orang-orang yang dizalimi.

Mereka ( kaum firaun) telah menganiaya kaum yang lemah (bani israil). Jika benar mereka ingin beradu tenaga,mengapa tidak beradu tenaga dengan orang yang sama kekuatan dengan mereka..??

Mereka itulah orang-orang yang zalim.

Teringat saya sewaktu salah seorang adik lelaki saya bergaduh (menggunakan anggota badan) dengan salah seorang adik perempuan saya, apabila dilihat ibu saya,segera ibu menegur adik lelaki saya tersebut,

"kalau nak gaduh,gaduh dengan adik beradik yang sama besar dan sama kuat dengan awak,awak gaduh dengan orang yang lebih lemah dengan awak,memang awak akan menang dan awak dah menganiaya orang yang lemah tersebut,".

Wallahhu a'lam.
Sekian.

Saturday, April 11, 2015

Sempurna.

Tahu sahaja,
Aku tidak sempurna,
Dalam keluk-keluk hidup nan penuh ranjau,
Tetap aku belajar untuk menjadi manusia separa sempurna.

Tengik bau tanah,
Di situlah asalku,
Kan jua bersemadi di situ.

Pahit, manis,kelat, masin,
tetap ku telan jua
Kerna itulah yang mencitrakan kanvas hidupku
Yang sering memandu aku bertatih,
Menuju sempurna..

Meski cuma dari tanah yang diinjak-injak,
Ia tetap berguna,
Meski kurang sempurna..

Kalaulah,
Kalaulah aku menanti tiba ke penghujung sebuah kesempurnaan diri,
Maka tercelalah aku kerna sendirian,
Maka itukah yang dimaknakan sempurna?

Biarlah,
Biarlah di balik kali aku berselindung,
Menyauk air buat disuakan pada tanaman yang melayu tunduk ke bumi,
Juga buat disuakan pada yang sedang kehausan,
Dan akhirnya dalam diam aku bisa membantu memadam cela makhluk Tuhan,
Tidakkah itu jua satu langkah menuju kesempurnaan?

Hakikatnya insan,
Kita saling melengkapi,
Tak betah kita berlari,
Andai sejak lahir kau tidak diajari untuk berdiri..


11 April 2015,
Aura insani,
Kamar kecil,
Bayt Aflah, Mu'tah, Jordan.

Kita dan pilihan.

Sudah hampir dua tahun aku tidak dapat menatap wajah keluarga secara 'live' walaupun di atas talian.

Pastilah yang paling ku rindui wajah insan-insan yang tak jemu mendidik aku menjadi Hamba Tuhan.

Tahun lepas bulan Ogos, ummi bertanyakan kepadaku kalau-kalau ada kawan-kawan yang duduk di selangor pulang ke Malaysia dan kalau-kalau aku ada pesanan barang untuk dibawa ke Jordan.

Biasanya ummi akan kirim G-Cafe (produk keluaran Gamat Emas: boleh google) senyap-senyap kepadaku.

Sebab beliau amat tahu akan kegemaranku.

Tapi sewaktu ummi bertanyakan kepadaku, aku cuma teringin minum vico (walaupun banyak sahaja lagi keinginanku yang lain tetapi aku memilih yamg mudah untuk didapati).
"Vico? Hi-goat tak nak? Perisa coklat," ummi bertanya lagi.

"Kalau nak vico juga?" aku tanya kembali.

Degil.

Itulah salah seorang anak perempuannya yang agak keras kepala, sebab itu dia tercampak jauh di bumi syam ini.

"Ummi tak nak belikan. Ummi bagi barang-barang yang ummi jual ja. Lagipun vico bukan produk muslim," pantas ummi menjawab.

"Tapi hi-goat mahal daripada Vico,"itu sebabnya aku berdegil. Harga susu hi-goat sepaket kecil sahaja,entah berapa ringgit harganya.

"Takpa mahal sedikit. Yang penting halalan toyyiba. Belajar agama, makan lagi kena jaga," berdesap suara ummi masuk ke hati.

Sentap. Kau tahu sentap?

Akhirnya ummi mengirimkan kepadaku 2.7 Kg susu coklat Hi-goat.

Sengih sahaja sewaktu barang tersebut sampai ke tanganku.

Dan syukur.

Sebab? Sebab aku ada ibu yang berusaha sedaya mungkin menjaga apa yang akan menjadi darah daging anak-anaknya.

Kalau di rumah, ummi tidak suka melihat produk-produk bukan muslim walaupun cuma syampoo rambut!

Ummi sedaya upaya meletakkan barang-barang yang ummi jual untuk digunakan oleh anak-anaknya kerana produk tersebut lebih diyakini kebersihan dan kehalalannya.

Ummi bukan rasis.
Tetapi ummi lebih yakin dengan produk yang dikeluarkan saudara seagama.

Cuma, sama ada anak-anaknya mahu istiqamah mengikut rentak umminya atau tidak.

Kesannya, kami adik beradik cukup sensitif apabila melihat kawan-kawan mereka, terutamanya yang nampak semangat memperjuangkan isu palestine, muslim-muslim yang tertindas tetapi masih makan McD, minum nescafe, teguk minuman keluaran syarikat Coca Cola dan guna produk yang disyaki mengandungi lemak babi.

Tapi itulah hidup.

Kita membesar dengan apa yang kita lalui. Dan itulah yang akan menjadi sebahagian daripada sikap dan tabiat kita.

Kita berhak memilih.
Berhak membuat pilihan.
Dan jalan yang benar dan lurus telah Allah perjelaskan dalam Alquran dan sunnah NabiNya.

Tapi nanti di negeri abadi, kita tiada pilihan lagi atas pilihan yang kita pilih di negeri sementara ini.

Maka buatlah pilihan, supaya nanti di sana kelak, kau tidak akan sesal dengan pilihan itu.


Ana Imtiyaz,
Bayt Aflah, Mu'tah, Jordan,
11 April 2015.

Friday, March 27, 2015

Mad'u dan cinta.

Untuk sebuah cinta yang hampir pudar
Lantaran secebis ragu yang bertandang..

Dai'e itu jiwanya tulus,
Hikmahnya kejadian itu agar apa yang ingin disampaikan bersifat telus,
Meski lambat dan perlahan
Menembusi hati dan jiwa si mad'u..

Yang penting,
Si dai'e harus bersabar,
Dakwah itu sifatnya berterusan dan panjang
Hati insan itu tiada siapa yang bisa memegang
Dai'e cuma wasilah,
dan Tuhan sahaja yang bisa merubah

Namun,
Andai terlalu pantas,
Dai'e itu berasa lemah dan tewas,
Bagaimana jika si mad'u terlihat puas..?

-Aura Insani-
181011

Menangislah.

Menangislah,
Menangislah...

Menyesali kealpaan diri.

Sementara nafas yang ada,
Cuma tersekat di saluran pernafasan,
Meski fungus yang memekat,
Mengganggu saluran nafas dan seanteronya.

Tuhan cintakan kamu,
Kerna itu Dia menghantar peringatan,
Saat kamu tersasar dari landasan yang sebenar.

Menangislah,
Saat Tuhan masih sudi memandang
Masih sudi menghantar ingatan,
saat kamu alpa dan semakin jauh dariNya...

-Aura Insani-
040313

Friday, March 20, 2015

Rayu hamba

Tuhan,
Tak pernah gagah aku ini,
Tak pernah mampu tubuh ini,
Bahkan tak pernah betah untukku menghela nafas pada detik ini..

Tapi kerna,
Adanya Engkau,
Maka wujudnya aku,

Bahkan,
Yang menguasai seluruh kehidupanku,
Adalah Engkau.

Maka,
Ya Rabbul Jalil,
Aku ini hilang punca,
Mungkin kerna penuh dengan dosa,
Hitam...legam..
Yang bukan tompok-tompok lagi..

Tuhan,
Tolong aku Tuhan,
Hati yang kau pinjamkan,
Mohon dibersihkan.
Jiwa yang kau pinjamkan,
Mohon digagahkan.
Iman yang kau kurniakan,
Mohon diteguhkan,
Agar ia terus bertambah,
Dan aku bisa untuk terus tabah dan gagah melangkah,
Dalam memanfaatkan sisa-sisa hidup yang masih berbaki...

Pegang aku erat-erat Wahai Yang Maha Menciptakan....


02 November 2014,
Kamar sepi,
Bayt Aflah,
Mu'tah, Jordan.

Wednesday, February 25, 2015

Yang terakhir kalinya.

Katanya, akan bertolak ke mator ( baca: lapangan terbang) tepat jam 11 malam.

Hujung minggu ini penuh dengan agenda-agenda berat dan mungkin kali terakhir untuk aku memberikan partisipasi.

Usai pulang dari kelas, aku bergegas pulang dengan otak yang penuh dengan peta.

Ya, peta ke mana harus ku tuju sebaik sahaja selesai kerja-kerjaku di rumah.

Aku tiba di rumah jam 2.45 petang.
Masak, solat asar dan makan tengahari adalah antara perkara penting yang perlu diselesaikan.

Hampir terbakar dapur rumahku gara-gara kabut menyusun atur perjalanan hidupku untuk hari ini.

Setengah jam sebelum maghrib, baru aku berjaya mengeluarkan diri dari rumah.

Sudah seminggu jalanku tempang, maka, langkahku agak lambat berbanding kebiasaan.

Fikirku mahu sebentar sahaja di rumah adik usrahku, namun ternyata naluri keibuanku berat mahu melepaskan dia pergi..

Aku ada janji temu selepas isyak iaitu jam 7 malam. Penting juga janji temu itu kerana masa kian suntuk buat persiapan bagi Mesyuarat Agung hujung minggu ni dan kali terakhir untukku di sini.

Perancanganku mahu wida' (baca : bersalaman buat kali terakhir di sini) seorang lagi sahabat seperjuangan sebaik sahaja selesai janji temu. Mungkin menyinggah barang 20-30 minit buat kali terakhir di sini.

Ah,banyak pula kali terakhirku.

Nyata, dengan waktu yang agak lewat,jam 9.30 malam, menyukarkan pergerakanku. Waktu begini biasanya banyak kedai sudah ditutup dan jalan agak suram.

Aku meminta keizinan murokib (baca : pelajar lelaki yang menemani pelajar perempuan yang keluar atas urusan penting pada waktu malam) untuk singgah di rumah sahabat itu.

Secepat mungkin ku ayunkan langkahku.

Kebiasaanya di sini, pelajar yang akan pulang ke malaysia (baca: khirij / grad), dilayan seperti pengantin dan rumahnya akan penuh dengan tetamu.

Aku menjenguknya di bilik.
Dia sedang berbicara di telefon. Aku tahu, tidak sepatutnya aku mengganggu perbualan dia dan orang di talian, tapi disebabkan murokib kesejukan di bawah dan aku sudah berjanji cuma sebentar, terpaksa juga aku mengganggu perbualannya.

"Maaf, ana baru balik meeting. Murokib dah tunggu kat bawah. Ingat nak tunggu sampai jam 10, tapi murokib yang sepatutnya (baca : sebenarnya deal dengan murokib lain) dah terlelap,".

Kami bersalaman. Aku tahu dia baru usai menghambur hiba dengan orang dalam talian.

Aku tahu.

"Inshaa Allah kita jumpa kat malaysia. 3-4 bulan je lagi ana pun akan khirij bi iznillah, " tidak bernada ayatku.

"Ok, 3-4 bulan lagi jumpa kat Malaysia Inshaa Allah, " dia membalas.

"Mungkin tak, paling awal pun kita jumpa bulan 12 nanti, ana tak balik Malaysia terus bulan 6 nanti," ayatku terhenti di situ.

"awak ke mana?" dia bertanya musykil.

Hanya senyuman mampu ku beri sebagai jawapan. Kelat.

Biar.. Biar aku simpan sesak yang mendesak jiwa halusku ini.

Tuhan, hanya Kau yang tahu kuat lemahnya aku ini.

Jagakan aku Tuhan. Aku cuma ada Engkau. Pun selama ini, Engkaulah yang menjaga aku.

Juga, jagakan dia dan dia..

حسبي الله ونعم الوكيل..

Safar sae'ed sahabat-sahabat sekalian..

Semoga kepulangan kalian membawa sinar baru buat masyarakat di sana yang sedang tenat.

Dan aku, seperi tidak mahu ketemu hari esok untuk perpisahan yang seterusnya...

كن قوياً يا عابدة..!!!