salam tazkir
" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-
Tuesday, March 22, 2011
Bahaya Aids dalam Harakah Islamiyah.
Muqaddimah Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.
Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki).
Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin. Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini.
Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian. Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik). Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.
Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua. Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah.
Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik. Mengenal Virus Merbahaya Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah?
Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi
1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan.
Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata. Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.
2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.
Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya. Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.
3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya. Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang.
Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah. Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka. Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.
4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.
5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.
6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah. Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.
7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional. Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.
Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah. Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).
Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.
Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah.
I mam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).
Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam. Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal.
Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya. Kesimpulan Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.
Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita. Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan….. Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia Wahai kalian yang rindu kemenangan
….. Wahai kalian yang turun ke medan Demi mempersembahkan jiwa dan raga Untuk Islam tercinta…
Makluman : Artikel ini pernah diterbitkan dalam Blog Ustaz Nasrudin Tantawi tanggal 17 Mac 2006.
SUMBER : www.tranungkite.net
Sunday, March 20, 2011
Tipu Orang Lalu!
“Insya’ Allah ana pi naik kereta. Enti nak ikut tak?” sms dari seorang teman saya terima.
“Enti drive ka? Kecil tapak tangan, nyiru den tadahkan,” segera saya menjawab mesej tersebut.
Jarang kami ke mana-mana program dengan menaiki kereta mak ayah kami. Biasanya naik pengangkutan awam. Pengangkutan awam sesak, kami pun sesak la + lewat sampai.
Pagi-pagi lagi kena gerak sebab program bermula jam 8pagi.
“nak ikut lebuhraya mana ni?”teman yang drive tu bertanya.
“ana tak bape expert jalan-jalan besar ni. Biasa kalau ana naik dengan rumate ana, biasanya kami kena sesat dulu bru jumpa,”.
“sempat lagi kutuk rumate ye,”saya sengih ja. Bukan kutuk rumate, tapi perkara itu yang berlaku setiap kali kami nak pi mana. tapi itu pun kalau first time pi la. Lama-lama biasa dah. ^_^..rumate x marahkan..
sampai ja kat tol yang pertama kami temui, teman ni pun hulur tangan.
Aik? Saya yang musykil.
“Awak, sini tak banyak tol yang bagi resit. Mintak duit banyak la…”. Saya hanya mampu tersengih melihat teman saya tu mukanya bengkek je..
Tadi baru tol pertama.
perjalanan dari shah alam menuju ke cheras penuh dengan kemusykilan.
Ni dah masuk tol yang keempat. Dari rm1 jadi rm2.20.
Kira-kira semua, duit tol ja lebih rm6. Mujur duit elaun ada baki lagi.
Pernah saya tanyakan pada ayah saya yang pernah menuntut di university of Salford,kat United Kingdom selama beberapa tahun tentang TOL.
“Abah, kat England takda tol ka,” macam soalan budak-budak.
“Seingat abah, tak pernah plak abah jumpa tol kat England tu…”jawab abah.
“Tapi bukan ke England tu Negara maju? Tak kan lansung tak da tol kot?”
“Siapa kata Negara maju ada tol? Pernah sekali ja abah jumpa tol kat England tu,”
“ha, kat mana abah? Berapa ringgit dia kutip? Tak kan satu je kot?” excited saya dengar kat England pun ada tol. ^_^
“waktu tu ada laluan bawah tanah, nak masuk bawah tu kena bayar RM0.05….,”
“Ai, mahalnya bah..dia buat apa dengan RM0.05 tu,”.
“Cas keselamatan…,”.
“Habis tol kat Malaysia yang banyak-banyak tu, untuk apa abah?”
“Oh tu semua TIPU ORANG LALU ja….,”.
Kuang…kuang…kuang..
Makin maju makin banyak pula TOL nya. Makin maju makn banyak pula PENIPUANnya. Makin maju makin teruk rakyat TERSIKSA.
Benarkah itu maksud sebenar tujuan kemajuan ingin dicapai????
Bila kira-kira balik duit tol dengan harga tiket komuter + lrt, murah lgi naik pengangkutan awam. Tapi pangangkutan awam pun lambat. Tidak datang tepat pada waktu yang sepatutnya dia dah datang.
Ya, kita boleh bercakap tentang PENGORBANAN, tetapi saya tidak merasakan dengan membayar tol, itu adalah satu sedekah atau pengorbanan yang perlu saya dan rakyat biasa lakukan.
Jadi,sampai bila RAKYAT harus menanggung kesukaran yang ditimpakan di atas kepala rakyat??
OH, mungkin saya terlupa, Rakyat didahulukan (bayar cukai, saman, dan etc untuk membiayai kekayaan kroni2 orang2 tertentu), baru pencapaian diutamakan (guna duit rakyat gak).
Ah, SELAMAT MAJU JAYA. BIARKAN ORANG2 KAYA TERUS KAYA. PIHAK BERKUASA TERUS BERKUASA. YANG FAQIR MISKIN, BIARKAN MELARAT HIDUP MEREMPAT, DI TANAH AIR SENDIRI!!!
Monday, February 21, 2011
harapku...
HARAPKU…
Cinta itu kaku
Bisu
Pernah ku menghulur harap ku ia disambut
Nyata
Sia-sia…
Mengapa kaku dan bisu?
Pernah ku terdengar bicara teman-teman akan keindahan sebuah cinta
Tentang bahagianya sebuah cinta
Tapi benarkah?
Atau segalanya hanya sesuatu yang dihiberbolakan?
Indah khabar dari rupa?
Lalu yang tertipunya adalah aku
Kaget dalam mencipta suasana….
“sengaja Tuhan mempertemukan kita dengan cinta yang salah, agar kita bisa untuk menghargai dan menyedari akan hakikat cinta yang sebenar…”
Benar kata-kata itu,..
Cinta itu tidak pernah menipu daya
Tetapi kita yang sering tertipu dengan kedunguan diri sendiri
Hingga kini aku masih setia menjadi sang darwisy
Menitip kata-kata dan doa di tiap celahan rasa dan air mata…
Pintaku moga Tuhan menemukanku, kau dan dia,
Dengan cinta yang bisa membawa kita kekal di syurga sana…
Sungguh,
Akulah darwisy yang sentiasa mengemis kasihNya
Tuhan,
Bawa aku pulang selamanya ke taman bahagia milikMu di sana……
aura_insani
-020211-Friday, February 11, 2011
Dr Mahathir seorang yang bijak -TG Nik Aziz
| KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam. "Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir." Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka. "Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu. Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya. Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata. Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24 Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka. Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2) Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh? Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu. Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36) Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka! Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO. Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir? Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali! Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan? Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..) HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu. Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011 harakahdaily |
Thursday, February 3, 2011
Mohon dikuatkan hati..
"ustaz, ana dah siap,"salah seorang sahabat mengangkat tangan.
"Saya pun sama ustaz,"seorang lagi sahabiah yang telah siap berpakaian untuk pulang ke kampung bersuara.
"Enti ni nak balik terus la ye?"ustaz bertanya pada sahabiah tersebut. Tersengih-sengih sahabiah tersebut tersenyum tanda mengiakan pertanyaan ustaz.
"ha, tak boleh lagi,"saya yang baru berniat mahu menghantar kertas jawapan, tersentak seketika.
Meronta. Mengapa?
Saya ada banyak lagi urusan. Nak hantar tesis + kena berlari ke JPN untuk dapatkan surat beranak yang baru. Oh,UPU....
"Ok, 5 minit lagi," saya menarik nafas lega.
"maaf ustaz..."saya hanya mampu berbisik di dalam hati. Kesal akan kekabutan diri.
"Ok, siapa dah siap boleh hantar,"
Tapi mengapa jiwa merasa tidak seronok tiba-tiba? Walhal arahan itulah yang ditunggu-tunggu sejak kertas soalan itu siap dijawab...........
"Jadi inilah kelas terakhir di antara ana dan kamu semua di sini,"
"Dan selepas ini,kamu semua akan menemui guru-guru yang lebih baik dan hebat-hebat. Ana ni tak hebat. Tapi pandai untuk berlakon jadi hebat,"
Kelas sepi seketika.
"I wan't to say sorry 4 everything i do. Itu je yang ana mampu cakap. Untuk kali terakhir di saat ini. Ok,semua boleh hantar kertas jawapan," segera pensyarah itu kembali ke tempat duduk.
Sebak? Barangkali. Saya atau siapa? Sesiapa saja yang berada di dalam kelas di saat itu termasuk pensyarah itu.
Saya menjadi pelajar terakhir yang menghantar kertas jawapan dengan ditemani seorang sahabat.
"Ustaz, kami nak minta maaf di atas kenakalan-kenakalan yang dah kami buat sepanjang kami menuntut ilmu dari ustaz. Doakan yang terbaik untuk kami,"
"ok2..."pensyarah itu menundukkan kepalanya. Saya tidak jadi meneruskan kata-kata melihat respon itu. Mengapa saya seperti melihat ada air mata yang bergenang. Saya dan sahabat itu, segera melangkah pergi.
"Ustaz sedih?"saya bertanya pada sahabat itu.
"Mungkin,"dia menjawab ringkas.
"Tapi kenapa?"
Saya tidak mendapati sebarang jawapan.
"Jadi inilah kelas terakhir,inilah kelas terakhir,...inilah kelas terakhir...,"
Ayat itu terus bermain-main di fikiran saya.
Ya, kelas yang terakhir. Kami akan pergi. Dan itulah kelas terakhir figh jinayat bagi pelajar syukbah syariah generasi pertama di DQ.
Pensyarah itu yang selalu mengingatkan kami tentang peranan kami selaku huffaz meskipun dia bukan orang yang hafaz alQuran seperti kami. Sering kami termalu dengan sikap kami sendiri. Kata-katanya semua berisi. Simple tapi berat pengertiannya. Yang membutakan hati dan memekakkan telinga sahaja yang tidak dapat melihat dan mendengar.
Mungkin itu yang membuatkan pensyarah itu merasa sebak. Ya, kerana pelajar-pelajarnya belum cukup matang untuk menghadapi suasana luar.
Kebetulan hari itu pensyarah tasme' saya tidak hadir ke kelas. MC. Maka niat saya untuk berjabat tangan memohon kemaafan dengannya sebelum cuti bermula, tidak kesampaian.
Hari-hari yang terakhir terus berlalu. Terus berdebar-debar. Gerun barangkali. Bukan exam 30 juzuk itu yang saya kecutkan. Tapi bimbang dengan hari-hari yang selepas daripada exam itu.
Moga alQuran yang saya pegang ini, bukan semata-mata untuk diri saya,tetapi untuk semua.
Isi, amalnya, syafaatnya dan segala-galanya untuk saya dan untuk semua.
Tetap saya ingat pesan ummi tiap kali saya ingin pulang bercuti,
"Balik jadi orang yang berguna untuk keluarga dan masyarakat sekeliling,".
Ah, cakap bukan semudah ingin dikota. Tapi usaha tetap perlu ada.
"Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan menegakkan agamaMu ya Allah...Moga Alquran yang berada di dalam hati ini, tetap utuh demi kebaikan alam sejagat...
Ameen ya Allah...
Monday, January 17, 2011
koreksi!!
Pada api cinta dan kemarahan
Segalanya mungkin bermula di situ
Kau mungkin tahu dan faham pada warna yang menyala-nyala itu
Lalu dibiarkan ia marak membakar
Sampai hingga hampir tinggal abu
Jiwamu bersoal pada diri…
Mengapa dibiar cinta dan kemarahan itu membakar dan merosakkan diri…??
Bukankah bahana itu kau sendiri yang akan merasainya..???
Sekadar mampu untukku mengintai
Di balik celah tabir
Yang memisahkan antara kita
Menjerit pun tak mungkin kau dengar
Apatah lagi jika ku bisikkan suara hati yang samar-samar
Tidak terlihatkah kita
Pada hikmah penciptaan kita yang berbeza-beza
Sudah butakah mata
Atau sudah gelap hati
Untuk menerobos masuk pada sebuah pengertian
Tentang hikmah dan hakikat kejadian tuhan
Atau antara kita
Masih goyah asas yang bertapak dalam diri…???
Aura_insani
Oktober 2010