salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Monday, October 15, 2018

Di sebalik

Kebencian itu seakan tidak mahu berkurang
Malah seakan Bertambah
Hilang langsung watak yang dahulu orang lihat gagah

Hilang ditelan waktu
Dan kesakitan yang dilaluinya
Entah bagaimana ia sedikit demi sedikit susut
Dan diganti dengan suatu kebencian oada diri sendiri

Dia menyelak halaman lalu
Mengintai kalau kalau ada sesuatu
Buat dia jadikan batu penguat
Untuk di bersandar dari kelelahan itu
Namun sayang
Halaman lalu terlihat ia kosong
Seakan tidak pernah ada yang indah
Wujud di situ

Dia hilang arah
Sendirian dia mencari jalan
Puas dia mengadu pada Tuhan
Puas dia menangis sepanjang pencarian

Tapi masih hampa
Akhirnya dia tersungkur di tepian
Dan orang masih melihat dia hebat
Tabah dan kental
Kesedihannya tak terlihat oleh mata kasar
Lalu dia pun berpura mengikut rentak persepsi orang padanya
Walau semakin lama dia semakin tenggelam dan hampir lemas dalam kepuraan itu...
Lalu sampai bilakah harus terlihat begitu??

Tubuhnya merapati lutut
Lalu dipeluk erat-erat

Tuhan, masih adakah harap untuk dia keluar dari situ...

Tuesday, January 16, 2018

Jauh

Jauh
Terbawa lukisan hatiku
Warna
Pelangi hiasan terindah

"Eh, dah rakaat ke berapa ni?"

Ya memang kita dibawa hanyut urusan dunia sedangkan kita masih dalam menyelesaikan urusan akhirat.

Lantas akhirnya solat kita seakan tidak memberi makna dan kesan dalam kehidupan seharian.

Kita terbawa jauh dalam khayalan.
Mengatur mahu buat ini, buat itu.
Eh, di situ rupanya barang yang hilang.
Ya Allah, tak bayar lagi barang tu.
Dan lain-lain..

Yang membawa jauh kita dari tujuan asal adalah sikap kita sebelum menunaikan solat.

Adakah di awal waktu, atau di hujung-hujung waktu?

Solat yang dikerjakan dalam tergesa-gesa juga bisa membuat fokus a.k.a khusyuk kita tersimpang jauh.

Dan terkekeh-kekeh lah si syaitan la'natullah mentertawakan kita.

Nastaghfirullah hal 'azim.

Lalu sampai bila harus begini?
Tanya sama hati
Ketuklah iman yang semakin menyepi
Usah ditunggu-tunggu lagi
Ubah sekarang wahai diri...!

Thursday, April 27, 2017

Banyak



ada,
banyak yang terhilang
ada 
banyak yang terpadam
segalanya tanpa disengajakan...

tapi 
ternyata aturan Tuhan yang selalu buruk di sangkaan kita
hakikatnya baik di pengakhiran..

- Ana Imtiyaz-
Aston Castle,
birmingham, UK,



Thursday, November 3, 2016

Kita dan Cita-cita

Bismillahhirrahmanirrahim.

Sudah mula belajar, dan nak masuk bulan yang ketiga pun.
Dan seperti biasa soalan yang sama akan ditanya,
"Sambung Master ya?"
"Kat mana?"

Dan bila jawapannya,
"Bukan, saya sambung Diploma lepasan ijazah,"

Dijawab semula,
"Oh, DPLI (Baca : Diploma Pendidikan)?"

Dan (dan lagi) akan bertambah rumitlah perbualan selepas itu.

Alhamdulillah dengan izin Allah rayuan saya untuk menyambung pengajian dalam Diploma Kehakiman dan Pentadbiran Islam (DAIJ) di UKM diterima.

Cadang nak sambung terus lepas grad tahun lepas, tapi kaki tangan gatal nak mengembara dulu katanya.

Jadi kepada yang pernah memohon untuk DAIJ di UKM, dan permohonan pertama kali anda tidak berjaya, usah putus asa, terus buat surat rayuan dan dapatkan tandatangan sokongan (saya minta dari pengetua sekolah), dan hantar ke email yang berkenaan.

Kos pengajian DAIJ bagi sesi pengambilan 2016/2018 adalah RM6000 lebih. Naik dekat RM2000. Tapi masih dalam kategori murah berbanding DAIJ di universiti lain.

Kelas DAIJ di UKM hanya berlansung pada hari Sabtu. 6 Jam. Disebabkan hanya 6 jam, maka tempoh pengajiannya adalah selama 2 tahun. Ada universiti yang hanya setahun, tetapi kelasnya adalah setiap hari sabtu dan ahad, seperti di USIM.

Tetapi saya memilih UKM atas faktor saya sedang bekerja. Isnin sehingga Jumaat, jam 7 pagi sehingga 9 malam. Untuk mengisi hari hujung minggu dengan sepadat-padat jadual, adalah di luar kemampuan saya. Sedang masih ada hak-hak yang perlu saya tunaikan dalam kepadatan waktu yang terkadang buat saya bertanya pada diri,
"Benarkah apa yang telah aku pilih dan lakukan ini..?"

Belajar dalam kesibukan bekerja menuntut pelbagai pengorbanan.

Wang, masa bahkan jiwa raga...!

Baru masuk bulan ketiga alam siswazah, tapi sudah makin gundah gulana.
Sewajarnya sebelum memulakan langkah, semak dahulu tujuan asal kita memilih jalan itu, agar nanti saat rasa lelah di pertengahan bisa kita segera obati.

Sekali langkah telah kau orak, usah berundur, teruskan sehingga ke akhirnya.
Tempuh saja segala onak duri yang meranjau, dan usah sekali-kali berpisah dengan Tuhan, dalam diam ataupun sedar.

Teruskan melangkah.


Sunday, October 23, 2016

Kembara Seorang Graduan ( I )

Bismillahhirrahmanirrahim.

Sedaya mungkin usaha ku tebak jua rasa malasku.
Rasa ingin bertangguh dari menaip sebaris makna untuk dikongsikan bersama.

Entah telah berapa purnama menghilang, ditelan waktu-waktu yang seakan tidak bersenggang.
Lalu terkadang senggang yang wujud seakan terlalu sempit untuk diselit buat dikarang sesuatu sebagai perkongsian dan mana tahu ia mungkin sebagai pengajaran pada yang membacanya.

Al- kisah usai sahaja keputusan imtihan final semester keluar, segera tiket ke Bumi British itu ku tempah. Dua bulan setengah di sana dengan harapan dapat melatih lidah fasih berbicara menutur bahasa asing itu.

Namun nyata, meski saat persinggahan 12 jam di Athens memaksaku menutur kata di dalam Bahasa Inggeris tetap ketidak yakinan itu menguasai.

Asal lepas membeli sedikit cenderamata, bertanya arah jalan dan kembali semula ke airport, buatku merasa sedikit tenang.

Angah telah mengemailkan siap-siap surat perakuan tentang kehadiranku buat ku tunjukkan kepada pegawai imigresen di boarding London nanti. Segalanya lengkap dengan salinan gambar kad kredit, visa, serta alamat tempat tinggalnya.

Barangkali bimbang berlaku perkara yang sama dengan adikku sebelum ini, ditahan lama dan disoal banyak perkara. Di tambah pula, pasportku menunjukkan aku baru tiba dari Jordan a.k.a timur tengah yang sedang hangat dengan isu ISIS saat itu. Ia bisa membuat urusanku nanti bertambah rumit.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Selamat jua tiba di Birmingham City jam 3 pagi lebih dan tinggal beberapa minit sahaja lagi waktu bersahur bakal tamat.

Namun, hari-hariku di sana masih tidak mudah untukku meyakinkan diri berbual dengan warga sana dengan bahasa mereka.

Cukup dengan sebaris dua ayat pun sudah cukup menggugupkan. Walhal sepanjang dua bulan itu, banyak jua kembara ku secara sendirian.

Dua bulan bukanlah tempoh yang lama sebenarnya untuk aku benar-benar yakin diri berbicara dalam Bahasa Inggeris. Namun ia adalah satu tempoh yang agak lama untuk seorang musafir yang hanya berbekalkan beberapa pound demi meneruskan pengembaraanku di sana dan kembali pulang ke Malaysia (Back For Good).

Namun dua bulan setengah itu agak cukup untuk aku mengenali sikap dan jenis-jenis warga British itu, keadaan di sana, iklim, warganegara mana yang paling banyak berhijrah ke sana, berapa jenis Muslim dan cara anutannya serta kedai milik siapa yang paling banyak di sana.

Ah, pastilah setiap yang manis itu pasti ada pahitnya.
Seakan seimbang.
Banyak mana air mata yamg tumpah, begitu jua berapa kali senyum bisa ku ukir tanpa dipaksa.

Dan dari sana juga aku melihat sahabat-sahabat yang telah pulang telah mula bekerjaya, menyambung pelajaran dan pelbagai lagi, sedang aku masih di negara orang berkira-kira mahu jadi apa, mahu ke mana, sedang segalanya pernah ku tulis dalam diari hidupku.

Aku, kau dan mereka harus tahu, bahawa perancangan kita adalah sepenuhnya di bawah perancangan DIA, Allah s.w.t.

DIA yang akan membantu kita menjayakannya dan DIA juga yang akan memperbaiki perancangan-perancangan yang tampak baik di penglihatan kita, namun hakikatnya DIA lebih mengetahui.

1 September 2015, aku selamat tiba di Tanah Air nan gersang ini demi meneruskan hidup sebagai seorang hamba dan Khalifah.

Segala puji bagi Allah yang memberi aku kesempatan mengunjungi dunia luar. Mudah-mudahan masih ada ruang dan peluang untuk ku mengembara jauh lagi buat kali yang seterusnya.

Catatan 22 Oktober 2016,
Kamar Sepi,
Shah Alam.

Wednesday, August 10, 2016

Mengintai waktu

Masih mengintai waktu di setiap hari yang mendatangi
Tentang munasabahnya masa
Tentang relevannya rasa
Tentang pertembungan kerja-kerja
Segala yang perlu diambil kira sering menambah rumit untuk membuat keputusan

Dan
Sehingga saat ini
Dia masih setia menjadi pengintai pada setiap yang berlalu
Untuk mereka saling menyatu
Meleraikan apa yang terkusut

Sunday, March 27, 2016

Oh, Alangkah!

Oh alangkah!

Nafas masih dihela sambil tangannya laju menyidai baju yang penuh sebakul itu. Sudah lima minit azan maghrib berkumandang, tapi ada bisikan yang memujuknya,

“Sebentar, sebentar,”

Lalu yang kononnya sebentar itu biasanya melewati sehingga satu jam. Mahu mencuci dapur pula,oh sedikit lagi ruang tamu perlu disapu.

“Allah, astaghfirullah, lewat,lewat,” terkadang keluar juga rasa sesal itu namun untuk waktu solat yang berikutnya diulangi lagi kejadian yang sama.

Oh,alangkah buruknya sikap makhluk yang bernama hamba itu.

Bengap sangatkah untuk dia mengerti bahawa setiap nafasnya yang terhela, setiap pergerakan sendi dan jari, mata yang melihat, otak yang berfikir dan segala yang dinikmati saat itu hanya pinjaman..!

Dan saat Pemilik pinjaman itu memanggil menghadapNya, dilengah-lengahkan pula.

Alangkah sombongnya makhluk yang hanya seorang hamba itu!

Dan,
Azan sedang berkumandang, segera bergegas menyucikan dirimu…

Kau hanya seorang hamba yang diberi pinjam serba-serbi, maka nikmat apakah lagi yang ingin kau ingkari jika kau benar hamba yang bersyukur!


Oh, alangkah! Menjadilah kita hamba yang bersyukur...