"Kenapa dengan kawan kau ni?" tanya seorang pak cik di kaunter pembayaran pada arina sambil wajahnya dipalingkan padaku. Sepi seketika. Terus aku menyerahkan kad pelajarku kepada pak cik kaunter tersebut.
" Alam fi zohri",aku menjawab perlahan. Arina hanya membisu. Mungkin dia mampu membaca hati temannya yang bertongkat itu.
"Allah yasyfik," pak cik itu menutur doa buatku usai selesai pembayaran pendaftaran untuk semester baru tahun depan.
Tujuan asal ke jamiah hari itu adalah untuk ke markaz sihhi. Nyata akhirnya aku pulang dari jamiah dengan hati yang sebu.
Singgah ke pekan mu'tah sebelum meneruskan jejak pulang ke rumah. Kesegananku semakin terserlah apabila hampir kesemua mata yang terlihat akan sosok tubuhku yang bertongkat akan mengalihkan pandangan ke arah tongkat hijauku dan memandangku semula dengan wajah yang penuh tanda tanya.
Sehinggakan pak cik-pak cik yang ku temui turut bertongkat pun memandangku dengan wajah tersenyum.
Barangkali terhibur dengan anak muda sepertiku yang seakan senasib dengan mereka bedanya aku tidak mengalami masalah bongkok.
Ah, mana bisa aku berbongkok. Sakit ini memaksa aku untuk berjalan dengan setegak yang mungkin.
Kerna itu orang di sekelilingku memandangku dengan nada hairan.
Boleh jadi rupaku di saat itu seperti seorang mafia jalanan. Dengan gerak gaya langkah yang tak berapa tersusun sambil membawa tongkat hijau, seakan mengesahkan persepsi itu.
Hampir tiba di rumah, sebuah kereta meluncur laju meredah lopak air lalu mencorakkan jubah biruku yang sudah tersedia bercorak cuma dengan warna yang berbeza.
Terkesima aku di situ.
Semakin terzahir rasa dhaif di jiwa seorang pesakit tulang pinggang kanan. Nyata aku gagal menahan sebak yang berkolam di tubir mata sayu.
Tuhan...adakah hari-hariku akan terus begini..??
Itu teka-teki yang sering aku soalkan sendiri kerna tidak ku temui jawapannya.
Dan saat teman-teman memujukku untuk bersabar, pun soalan yang sama ku tanya.
"Sampai bila akan begini..??".
Sedang aku lupa, berulang kali DIA berfirman dalam kitab suci itu,
"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar.."
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya mengatakan, "kami telah beriman," dan mereka tidak diuji..??" (Surah al-ankabut: ayat 2)
Maka bersyukurlah wahai diri saat Tuhan menguji kamu!
No comments:
Post a Comment