Hujan.
Aku mengintai dari tingkap dapur. Lebat hujan yang membasahi
bumi sejak tengahari tadi sudah merenyai.
Biasanya Cuma lima minit yang aku perlukan untuk bersiap
keluar, tapi petang ini terpaksa aku menambah lima minit lagi demi memastikan
aku meninggalkan rumah bukan dalam keadaan tersiksa dek kesejukan luar yang
mencengkam sehingga ke tulang hitam.
Suhu sudah berkurang sehingga 2’c. Malam ini salji diramalkan
akan turun. Percaya atau tidak, “sediakan payung sebelum hujan” adalah lebih
baik.
Kasut salji telah siap aku sarungkan.
“K.teh balik tak malam ni?” adik rumahku bertanya dengan
separuh menjerit dari biliknya.
“ Salji k.teh tak balik. Jaga rumah, assalamualaikum,”
jawabku pantas sambil menutup dan mengunci pintu rumah.
Jarak perjalananku ke daerah itu mengambil masa lebih kurang
setengah jam dengan keadaan cuaca yang begini ditambah lagi dengan lopak-lopak
air yang bakal melambatkan lagi langkahku.
Deringan telefon yang berkali-kali pinta diangkat tidak
mampu ku jawab. Kebas. Tangan ku sisip ke dalam kocek baju bagi mengurangkan
kebas.
Cuma satu panggilan dari seorang teman mampu aku jawab,
itupun tidak mampu untuk aku berlama-lamaan di talian kerana bimbang ada kolam
lain yang akan pecah. Sebak.
Cadangku ingin menyinggah sebentar ke kedai roti sebelum
langkahku diorak lebih jauh.
Namun belum sampai betul-betul depan kedai roti itu, dari
kaca pintu aku melihat pak cik-pak cik arab sedang beratur panjang. Segera mataku
melihat jam di tangan.
Masaku cuma berbaki 10 minit sebelum azan maghrib dari
kaset-kaset dipasangkan. Suram senja semakin kelam. Destinasiku masih jauh.
Segera kakiku menuju ke satu kedai untuk membeli alas perut
dan minuman bekalan untuk 2-3 hari (barangkali).
Mulanya barang-barangku cuma berjumlah JD 1.50, maka baki
yang harus ku terima dari nilai JD5 yang ku bayar adalah JD 3.50. Kemudian aku
menambah beberapa biji telur ayam yang harga pasarannya tidak menentu itu lalu
membuatkan penjual sendiri tersilap mengira.
Katanya 6 biji JD0.90.
“Lau ana biddi dinar,
geddish beid saahsil?” penjual itu mula mengerutkan dahinya.
Biasanya dengan harga JD 1, adalah tukaran untuk 8 biji
telur ayam sederhana besar. Namun disebabkan ada pelanggan-pelanggan lain yang
menanti dan aku juga mahu cepat,
“ toyyib mu’allim, biddi sittah beid bas, masyi?” laju sahaja
penjual itu meletakkan baki di kaunter.
JD 1.50 sahaja ku kira.
“Mu’allim, ana bas akhuz sittah beid. Albaqi la yakfi,”
penjual itu seperti tidak acuh melihatku.
Dua minit aku menanti sambil otakku yang hampir beku
mencongak semula.
Ya, baki yang harus aku terima adalah JD 2.60 kerana aku
menambah telur yang harganya berjumlah JD0.90 tu. Namun hasil kiraan itu masih
samar-samar.
“Hay ziyadah baqi,” penjual itu menghulurkan juga tambahan
baki.
“10 qurusy bas?” penjual itu sudah tidak melayanku. Semua
pelanggan arab yang ada di situ melihat ke arahku. Segan aku di situ.
Sambil kakiku segera melangkahku keluar, baru jawapan
congakan kiraan bakiku ku temui. Benar, baki sebenar adalah JD 2.60. Tetapi
yang dipulangkan JD 1.60.
Sedinarku melayang dengan hati yang kesal. Kesal yang
bercampur baur dengan bimbang kerana perjalananku masih jauh ditambah dengan
hati yang resah gelisah akibat ‘sesuatu’ itu.
Maka aku gagal memfokuskan, apa yang sedang aku rasai saat
itu. Segalanya bercampur baur dalam lumpur-lumpur yang bercampur dengan ketulan
frost-frost putih di jalanan.
Dengan izin DIA yang Maha Pengasih dan Penyayang, aku Berjaya
tiba di daerah itu sebelum azan kaset dipasangkan tanda waktu maghrib telah
masuk.
Hari ini hari ketiga aku mengasingkan diri.
Salji pun seperti ingin mencair meskipun suhu masih 0’c.
Mahu atau tidak, aku harus pulang. Banyak yang aku perlukan,
tiada di daerah ini. Tapi aku sangat bersyukur kerana Allah menghadiahi aku
dengan perkara yang lebih manis.
Setidak-tidaknya dengan hijrah seketika ini, jiwa yang sakit
sedikit terubat. Pasti sahaja DIA mahu aku mendampingiNya hari-hari, baru
jiwaku terawat dan tidak berkarat...!!!
Ah, aku cuma insan. Jika di pandanganNya pun aku sangat
faqir, apatah lagi aku di mata insan yang lain.
Meskipun JD 1 ku melayang dek penjual yang “tersilap” dalam
mengira, aku juga berharap mereka yang menggadaikan JD 1 untuk mengisi borang
pencalonan buatku juga tidak “tersilap” dalam menilai kemampuanku.
Dan sejauh manapun aku berlari dari perkara yang telah tercipta
untuk aku hadapi, aku takkan bisa melarikan diri tanpa keizinanNya. Mahu atau
tidak, ia tetap perlu aku hadapi dan depani dengan jiwa yang kental dan iman
yang gagah.
Dari birai jendela di daerah sunyi ini, salji yang putih
sudah banyak yang berubah menjadi lumpur coklat.
Namun jauh di sudut hatiku, penuh dengan harapan agar jiwaku
yang pernah gagah suatu masa dahulu tidak mencair seperti salji dan imanku
tidak menjadi keruh seperti salji yang sedang mencair itu….
Wahai Tuhan yang menjadikan aku dan yang mengatur riwayat
hidupku,
Juga Tuhan yang menciptakan segala apa yang ada di langit
dan di bumi,
Harapku, pintaku, mohonku,
Moga sedinarku dan sedinar mereka itu, tidak melayang salah
ke tempat yang salah…
Al faqir wal haqir ilallah…
Abid Imtiyaz
Daerah sepi.
121313
No comments:
Post a Comment