salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Tuesday, December 24, 2013

Menongkat dunia.

Tongkat kayu itu dibaringkan di sebelah tilam.

Sebelum ini pun dia meletakkan sebatang kayu panjang yang lebih nipis berbanding tongkat kayu itu di sisi katilnya buat persediaan jika rumahnya dimasuki perompak. Cuma kali ini dengan tujuan yang berbeza.

Dia menghela nafas perlahan setelah berjaya meletakkan tubuh di atas tilam tanpa katil itu.
Sakit.

Keningnya berkerut menahan.

Kalau mahu membaringkan diri pun sudah sakit, apatah lagi sewaktu dia ingin berada di posisi duduk.
Namun kesakitan itu bukan tiket untuk dia berendam air mata.

Cuma, kalau sakit itu menyentak urat sarafnya, sakit peritnya bisa menarik keluar air mata.


Tab jenama x-touch itu ditatapnya.
Ada lebih kurang 40 ayat dari surah annahl beserta tafsirannya yang belum habis dibaca. Ya, yang belum dibaca dan dihadam.

Jadual exam yang terbaru sudah keluar. Berganjak jauh dari tarikh yang sepatutnya.
Tarikh terakhir exam untuk subjeknya di fasal itu, sama hari dengan tiket flightnya cuma berbeza empat jam.

Dia menahan keluh. Pernah sewaktu di dalam kelas hafazan empat tahun lalu, dia ditegur oleh ustazah tasmiknya.

Kata ustazah, apabila kita mengeluh, seolah kita berputus asa dengan takdir Allah.
Maka sehingga saat ini, setiap keluhan yang ingin terbit dari jiwa sebal, cuba ditahannya daripada terzahir.

Dua-tiga hari lepas, dia masih mampu bertahan. Fikirnya sakit yang menyerang secara tiba-tiba itu barangkali sembuh selepas dua-tiga hari. Tapi hari ini sudah melepasi hari yang ketujuh.

Cukup seminggu. Dan sepanjang tempoh itu, air matanya tidak pun selalu tumpah.Kolam air matanya cuma tumpah saat urat sarafnya bagai disentak secara mengejut. Kemudian, sepi. Air matanya kering kembali.

Bukan mudah untuk melatih diri menjadi tabah dan kuat.

Sudahlah setiap bulan pasti dia tidak ke kelas gara-gara sakit wanitanya akan bertamu saat tiba awal bulan. Di tambah dengan sakit-sakit yang tak dijangka sebegini, kadang-kadang buat dia seakan mahu berputus asa.

"Tuhan..Tolonglah.. tolonglah..Tuhan, lemahnya aku..", rintih itu tanpa pernah putus diulang-ulang.

Cadangnya siang tadi, ingin ke markaz sihhi jami'ah (klinik di universiti), tapi kudratnya cukup-cukup untuk dia berdiri sahaja. Maka dia terus terbaring lesu di atas tilam yang telah berusia lebih 4 tahun itu tapi masih tebal dan sesuai diletakkan di bawah tanpa katil berbanding tilam asalnya yang sedia nipis meskipun baru berusia dua tahun lebih.

Ah, bercerita tentang tilam pula. Dia mengurut-ngurut perlahan pinggang belah kanannya itu sambil dia masih berfikir-berfikir punca sakit itu datang menyerang. Yang menambah kemusykilannya juga adalah kerana dia sudah masuk tahun ketiga menghadapi musim sejuk,tapi rasa sakit yang menyerang seolah-olah dia baru pertama kali merasai cuaca musim sejuk itu.

Atau mungkin, saat itu semakin dekat..??
Jeda seketika.

Masanya yang telah berlalu, rasa lebih banyak dipenuhi dengan berjimba-jimba dan berlengah-lengah dengan waktu.

Sedang yang makin hampir dan berlegar-legar di sekitarnya tidak dia sedari. Sedar atau mungkin terlalai kembali. Nyata dia cuma insan. Perlu diketuk-ketuk hatinya baru dia tersedar yang dia sebenarnya hampir "lost connection" dengan Tuhan.

Astaghfirullahhal azim.
Diraup kedua tapak tangannya yang sejuk itu ke wajah sugulnya.

Sekurang-kurangnya dengan sakit ini, buat dia rasa dekat dengan DIA. Sebab dia sangat makruf, sihatnya dia atau sakitnya dia, DIA yang beri dan tentukan. Maka mengapa perlu mencari selain DIA untuk mengadu rasa..??


Matanya dipejamkan perlahan sambil dia cuba membangunkan tubuhnya untuk disandarkan ke bantal yang disusun tegak ke dinding bagi menampung kedudukannya.

Sakitnya masih menyucuk. Tapi sampai bila harus begini. Air matanya tumpah lagi. Segera dikesat matanya yang terus berkaca-kaca itu.

Istighfar.
Masih dipujuk hatinya. Botol air mineral di sebelah tilam segera dicapai. Usai bismillah dan dua-tiga kali tegukan, dia kembali mencapai kita syarah ibnu 'Aqil yang sedari semalam pinta dibaca.

"Moga sakit ini bisa membasuh kelam hatinya yang semakin mengeruh dek dosa-dosa yang terpalit sekian lama," bisik hatinya.

Dia kembali tenang.
Moga Tuhan hadiahi dia dengan kekuatan iman dan ketabahan hati serta kekentalan jiwa dalam menghadapi saki baki usia yang menanti saat untuk berakhir..

Dia juga mahu tenang bertemu Sang Penciptanya.



Al haqir wal faqir ilallah,

-Abid Imtiyaz-
Kamar sepi,
Bayt Aflah.
2411213

No comments: