salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Monday, February 24, 2014

Usah dibiari aku...


Titik.
Harusnya aku faham sendiri.

Menghinggut bahu pinta difahami,
untuk apakah?

Kan sudah dibilang,
harusnya aku faham sendiri.

Titik.

Aku mohon.
Jangan sekeras ini menghukumku.

Sedang Tuhan Maha Pengasih,
mengapa biar diri tersisih..??

Pada dua mata yang berkaca,
nah,cuba kau baca..!!

Pada dua bibir yang mengetap,
belum lagi rasa disentap..??

Pada mimik muka penuh derita,
Ah, itukan hasilnya selepas puas berfoya-foya..!

Ia masih belum di garis penamat,
pasti untuk aku masih ada pintu taubat..

Ambil semula darah nan segumpal itu,
merahnya sudah menghitam,
seakan mengeras,
ada bau hanyir yang seakan menusuk,
adakah mahu terus dibiar...??

Sendiri punya laku,
mengapa tidak mahu mengaku..??

Masih mengharap ada waktu,
maka saat ini terus orakkan langkah itu.

Tuhan tidak pernah tercuai walau sedetik tentangku,
maka mengapa perlu aku ragu.

Maka berhimpunlah segala bicara-bicara yang terpendam sekian lama,
Namun, hanya mampu diungkap dari hati yang meremuk..
Duka,
Air mata itu tafsiran segalanya,
biar Tuhan baca...

Titik.

Bicaraku tidak perlu,
Kerana segala kisah DIA lebih Tahu,
Maka di atas sejadah itu hanya mampu aku berteleku,
menghambur segala resah dan nestapa dek kumpulan dosa yang menjajah...

Tuhan,
aku butuh hati yang baru,
agar interaksi antara aku dan kau tidak lagi terganggu...

Tolong aku Tuhan..............



240214
Kamar Sepi, Bayt Aflah.
-Ana Imtiyaz-






Wednesday, February 12, 2014

Aku dan Tuhan



Itulah aku, mencari Tuhan saat perlu.
Mencari Tuhan saat buntu.
Sedang sebelum-sebelum itu,
Menderu ku tunai solat lima waktu
Tasbihku cuma Satu
Tahmidku juga begitu

Itulah aku, merintih memanggil Tuhan
saat aku benar tewas
terkujur lesu
sedang sebelum itu
enteng saja ku jaga amalan wajibku
yang sunat-sunat lebih tidakku acuh
ku tunaikan saat teringin sahaja

itulah aku,
merangkak-rangkak mencari Tuhan
terisak-isak menyebut namanya
setelah aku benar tersungkur tak bermaya

maka mengapa begitu?
Mengapa aku hanya mencari Tuhan di saat-saat tertentu..??
Mengapa aku membutuhkan Tuhan di tempat-tempat tertentu
Seolah menafikan sifat Tuhan yang tidak pernah leka walau sedetik tentang aku

Harus detik ini aku sedar
Supaya tidak lagi mencari Tuhan saat perlu sahaja
Bagaimana cinta itu bisa aku hirup manisnya, andai aku hanya memandangnya sebelah mata..??

Cinta itu bukan dicari hanya di saat duka
Cinta itu berkongsi rasa
Cinta itu saling berinteraksi di antara dua
Jika Tuhan tak jemu memberi, mengapa begitu sombong untuk aku menghargai…???

Aduhai aku yang cuma seorang hamba…
Selagi udara masih Tuhan izinkan kau hirup,
Raikan dan hargailah cinta yang selama ni Tuhan berikan padamu dengan sebijaknya,
Agar nanti kelak di sana,
Tidak kan terdengar kata penyesalan,

“Ah,alangkah baiknya jika aku menjadi tanah sewaktu di dunia dahulu..!”

Naudzubillahhimin zalik.

imtiyazi
110214

Thursday, February 6, 2014

Hikmah kembara

Ia suatu kisah.

Atau boleh juga ia disamakan dengan temuduga bagi melepasi peringkat tahap keimanan yang lebih tinggi.

Nyata segalanya teruji di dalam kembara ini..

Pernah saya tanyakan pada seorang teman, "apakah had limit bagi sesebuah kesabaran itu?"

Ringkasnya jawapannya,
"Sebuah kematian,".

Maka setiap langkah yang diatur sepanjang pengembaraan ini,pasti ada duga yang Tuhan selitkan lebih-lebih lagi apa niat dan misi semakin tersasar daripada landasan sebenar.

Ya, Tuhan ada menyatakan dalam firmannya,
"Maka sedikitkanlah tawa kalian dan perbanyakkanlah tangisan,".

Maka tawa yang dimaksudkan adalah sukaria atau keseronokan yang tidak terkawal lantas terlupa akan hari-hari yang mendatang yang akan ditempuhi.

Maka tangisan yang dimaksudkan adalah suatu muhasabah,tazkir dan nasihat buat diri.

Agar tiap suatu yang kita hadapi dan lihat, harungilah ia dengan rendah hati.

Agar tiada keangkuhan yang menjadi raja di hati. Iman itu keadaannya yazid wa yanqus, ya bertambah dan berkurang.

Kerana kita bukan malaikat yang tercipta memang semata untuk beribadah padaNya.

Dan di dalam kembara ini, sengaja Tuhan memilih saya.

Kerana Dia tahu, angkuh manapun saya, saya cuma seorang hamba. Yang senantiasa akan berharap dan bergantung pada sesuatu.

Dan dari Dialah, tempat asal segala benda dan padaNya jualah menjadi tenpat pengharapan dan pergantungan.

Kembara ini bukan sehari dua. Maka sakitnya untuk belajar tentang erti sebuah kesabaran itu bagai luka yang tak mahu sembuh-sembuh.

Sedikit masa lagi.

Mahu sampai ke level taqwa, bukan semudah melafaz kata, saya hamba yang bertaqwa. Tapi aplikasinya bisa menggugah jiwa!

Maka di hari yang masih berbaki, saya masih dan akan sentiasa berharap, agar Rahmat dan Rahman Tuhan senantiasa memayungi saya dan teman-teman sepermusafiran.

Kerna,
Kembara ini
Misinya bukan biasa-biasa!

Hasbiyallahhu wa nikmal wakil..



Friday, January 3, 2014

Sehari sebelum tahun baru.

"Kenapa dengan kawan kau ni?" tanya seorang pak cik di kaunter pembayaran pada arina sambil wajahnya dipalingkan padaku. Sepi seketika. Terus aku menyerahkan kad pelajarku kepada pak cik kaunter tersebut.

" Alam fi zohri",aku menjawab perlahan. Arina hanya membisu. Mungkin dia mampu membaca hati temannya yang bertongkat itu.

"Allah yasyfik," pak cik itu menutur doa buatku usai selesai pembayaran pendaftaran untuk semester baru tahun depan.

Tujuan asal ke jamiah hari itu adalah untuk ke markaz sihhi. Nyata akhirnya aku pulang dari jamiah dengan hati yang sebu.

Singgah ke pekan mu'tah sebelum meneruskan jejak pulang ke rumah. Kesegananku semakin terserlah apabila hampir kesemua mata yang terlihat akan sosok tubuhku yang bertongkat akan mengalihkan pandangan ke arah tongkat hijauku dan memandangku semula dengan wajah yang penuh tanda tanya.

Sehinggakan pak cik-pak cik yang ku temui turut bertongkat pun memandangku dengan wajah tersenyum.

Barangkali terhibur dengan anak muda sepertiku yang seakan senasib dengan mereka bedanya aku tidak mengalami masalah bongkok.

Ah, mana bisa aku berbongkok. Sakit ini memaksa aku untuk berjalan dengan setegak yang mungkin.
Kerna itu orang di sekelilingku memandangku dengan nada hairan.

Boleh jadi rupaku di saat itu seperti seorang mafia jalanan. Dengan gerak gaya langkah yang tak berapa tersusun sambil membawa tongkat hijau, seakan mengesahkan persepsi itu.

Hampir tiba di rumah, sebuah kereta meluncur laju meredah lopak air lalu mencorakkan jubah biruku yang sudah tersedia bercorak cuma dengan warna yang berbeza.

Terkesima aku di situ.

Semakin terzahir rasa dhaif di jiwa seorang pesakit tulang pinggang kanan. Nyata aku gagal menahan sebak yang berkolam di tubir mata sayu.

Tuhan...adakah hari-hariku akan terus begini..??

Itu teka-teki yang sering aku soalkan sendiri kerna tidak ku temui jawapannya.

Dan saat teman-teman memujukku untuk bersabar, pun soalan yang sama ku tanya.

"Sampai bila akan begini..??".

Sedang aku lupa, berulang kali DIA berfirman dalam kitab suci itu,
"Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar.."

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya mengatakan, "kami telah beriman," dan mereka tidak diuji..??" (Surah al-ankabut: ayat 2)

Maka bersyukurlah wahai diri saat Tuhan menguji kamu!

Tuesday, December 31, 2013

Terima kasih

Terima kasih.



Terima kasih,
Buat yang pernah memberi dalam hidup ini,
walau cuma seukir senyuman,...
walau cuma sebaris ucapan,
buat berkongsi semangat.

Terima kasih,
buat yang sudi berkongsi bahu,
meminjamkan telinga,
menyeka kolam air mata,
meluang masa walau seketika,
sedikit sebanyak mengurangkan sesak di jiwa.

Terima kasih,
buat yang sudi duduk bersama,
bertukar ilmu juga idea,
mengisi kosong di dada,
buat merawat ummah yang sarat.

Terima kasih,
buat yang sudi menegur saat tersilap
membetulkan apa yang tersalah
juga sudi memberi nasihat
saat aku benar butuh akannya.

Terima kasih,
buat yang pernah menjerkah hina,
melempar kasta,
meludah nista,
mengejek senda,
mengajuk kata,
menoreh luka,
buat aku lebih tegar untuk berdiri
meski dalam sebuah kepayahan.

Terima kasih,
Terima kasih buat kalian yang pernah menconteng, mencorak dan mewarna kanvas hidupku.

Sewajarnya ucapan syukur dan terima kasih itu,
aku panjatkan pada Tuhan,
kerana menghantarkan kalian sepanjang perjalananku menujuNya..

Terima kasih Tuhan,
kerna memilih aku untuk berada di bumiMu.

Terima kasih Tuhan,
kerna masih sudi menuntun langkahku untuk dekat denganMu.

Pintaku,
moga riwayat hidupku berakhir dengan sebaik-baik pengakhiran.

-Abid Imtiyaz-
311213

Tuesday, December 24, 2013

Menongkat dunia.

Tongkat kayu itu dibaringkan di sebelah tilam.

Sebelum ini pun dia meletakkan sebatang kayu panjang yang lebih nipis berbanding tongkat kayu itu di sisi katilnya buat persediaan jika rumahnya dimasuki perompak. Cuma kali ini dengan tujuan yang berbeza.

Dia menghela nafas perlahan setelah berjaya meletakkan tubuh di atas tilam tanpa katil itu.
Sakit.

Keningnya berkerut menahan.

Kalau mahu membaringkan diri pun sudah sakit, apatah lagi sewaktu dia ingin berada di posisi duduk.
Namun kesakitan itu bukan tiket untuk dia berendam air mata.

Cuma, kalau sakit itu menyentak urat sarafnya, sakit peritnya bisa menarik keluar air mata.


Tab jenama x-touch itu ditatapnya.
Ada lebih kurang 40 ayat dari surah annahl beserta tafsirannya yang belum habis dibaca. Ya, yang belum dibaca dan dihadam.

Jadual exam yang terbaru sudah keluar. Berganjak jauh dari tarikh yang sepatutnya.
Tarikh terakhir exam untuk subjeknya di fasal itu, sama hari dengan tiket flightnya cuma berbeza empat jam.

Dia menahan keluh. Pernah sewaktu di dalam kelas hafazan empat tahun lalu, dia ditegur oleh ustazah tasmiknya.

Kata ustazah, apabila kita mengeluh, seolah kita berputus asa dengan takdir Allah.
Maka sehingga saat ini, setiap keluhan yang ingin terbit dari jiwa sebal, cuba ditahannya daripada terzahir.

Dua-tiga hari lepas, dia masih mampu bertahan. Fikirnya sakit yang menyerang secara tiba-tiba itu barangkali sembuh selepas dua-tiga hari. Tapi hari ini sudah melepasi hari yang ketujuh.

Cukup seminggu. Dan sepanjang tempoh itu, air matanya tidak pun selalu tumpah.Kolam air matanya cuma tumpah saat urat sarafnya bagai disentak secara mengejut. Kemudian, sepi. Air matanya kering kembali.

Bukan mudah untuk melatih diri menjadi tabah dan kuat.

Sudahlah setiap bulan pasti dia tidak ke kelas gara-gara sakit wanitanya akan bertamu saat tiba awal bulan. Di tambah dengan sakit-sakit yang tak dijangka sebegini, kadang-kadang buat dia seakan mahu berputus asa.

"Tuhan..Tolonglah.. tolonglah..Tuhan, lemahnya aku..", rintih itu tanpa pernah putus diulang-ulang.

Cadangnya siang tadi, ingin ke markaz sihhi jami'ah (klinik di universiti), tapi kudratnya cukup-cukup untuk dia berdiri sahaja. Maka dia terus terbaring lesu di atas tilam yang telah berusia lebih 4 tahun itu tapi masih tebal dan sesuai diletakkan di bawah tanpa katil berbanding tilam asalnya yang sedia nipis meskipun baru berusia dua tahun lebih.

Ah, bercerita tentang tilam pula. Dia mengurut-ngurut perlahan pinggang belah kanannya itu sambil dia masih berfikir-berfikir punca sakit itu datang menyerang. Yang menambah kemusykilannya juga adalah kerana dia sudah masuk tahun ketiga menghadapi musim sejuk,tapi rasa sakit yang menyerang seolah-olah dia baru pertama kali merasai cuaca musim sejuk itu.

Atau mungkin, saat itu semakin dekat..??
Jeda seketika.

Masanya yang telah berlalu, rasa lebih banyak dipenuhi dengan berjimba-jimba dan berlengah-lengah dengan waktu.

Sedang yang makin hampir dan berlegar-legar di sekitarnya tidak dia sedari. Sedar atau mungkin terlalai kembali. Nyata dia cuma insan. Perlu diketuk-ketuk hatinya baru dia tersedar yang dia sebenarnya hampir "lost connection" dengan Tuhan.

Astaghfirullahhal azim.
Diraup kedua tapak tangannya yang sejuk itu ke wajah sugulnya.

Sekurang-kurangnya dengan sakit ini, buat dia rasa dekat dengan DIA. Sebab dia sangat makruf, sihatnya dia atau sakitnya dia, DIA yang beri dan tentukan. Maka mengapa perlu mencari selain DIA untuk mengadu rasa..??


Matanya dipejamkan perlahan sambil dia cuba membangunkan tubuhnya untuk disandarkan ke bantal yang disusun tegak ke dinding bagi menampung kedudukannya.

Sakitnya masih menyucuk. Tapi sampai bila harus begini. Air matanya tumpah lagi. Segera dikesat matanya yang terus berkaca-kaca itu.

Istighfar.
Masih dipujuk hatinya. Botol air mineral di sebelah tilam segera dicapai. Usai bismillah dan dua-tiga kali tegukan, dia kembali mencapai kita syarah ibnu 'Aqil yang sedari semalam pinta dibaca.

"Moga sakit ini bisa membasuh kelam hatinya yang semakin mengeruh dek dosa-dosa yang terpalit sekian lama," bisik hatinya.

Dia kembali tenang.
Moga Tuhan hadiahi dia dengan kekuatan iman dan ketabahan hati serta kekentalan jiwa dalam menghadapi saki baki usia yang menanti saat untuk berakhir..

Dia juga mahu tenang bertemu Sang Penciptanya.



Al haqir wal faqir ilallah,

-Abid Imtiyaz-
Kamar sepi,
Bayt Aflah.
2411213

Aku bukan si orang tua

Gerakku,
Lakuku, Sudah seperti orang tua-tua Atau mungkin orang-orang tua lebih cergas dariku
Layaknya seperti nenek si bongkok tiga, Tapi tak pernah aku tahu, Bagaimana sakit atau lenguh nenek itu membongkok Ketika sujud ataupun rukuk..
Nyata kini aku yang merasa, Di atas jalan meredah malam sejuk pulang dari rumah seorang guru Hampir rebah angkara sakit si tulang belakang Merebaknya hingga ke pinggang Mujur ada teman yang sudi memapahku pulang.
Aku tidak tahu adakah sakit peritnya memang begitu Kerna yang lebih aku makruf, Sakitku berpilihan raya mampu buat aku mengasingkan dari keramaian Mencari makna sebenar bertanding bukan atas pilihan..
Nyata jedanya bukan sebentar... Mujur Tuhan hadiahi cuti buat aku bermuhasabah diri
Terima kasih buat teman-teman yang sudi membantuku mengesat air mata Saat aku sakit berpilihan raya, atau saat sakit tulang belakangku terkepit.. Moga Tuhan rahmati kalian..
Salam juang dari kejauhan...

21 Disember 2013
Abid Imtiyaz, Terdampar sepi atas katil, Bayt Aflah.