salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Saturday, January 26, 2013

Winter yang hiba


Cuaca yang menunjukkan angka sekitar 6-12 darjah celcius, lansung tidak menunjukkan tanda-tanda salji akan turun lagi buat kali yang seterusnya pada musim sejuk kali ini seperti tahun lepas.
Namun Jam 10 malam tadi, dengan kuasa Allah s.w.t, awan memuntahkan juga isinya yang sarat dengan frost (seperti salji tetapi ketulan yang lebih besar).


Jam 7 pagi ini, saya menguak pintu beranda bagi memberi laluan kepada udara pagi yang lebih segar bertukar tugas dengan karbon dioksida yang bertugas sejak pagi semalam.
Musim-musim cuti ini, jalan-jalan lebih lengang daripada biasa. 
Hakikatnya kawasan rumah sekitar masjid ‘umar,mu’tah ini, memang tidak sehiruk pekan Mu’tah yang penuh dengan bunyi-bunyian manusia dan kenderaan.
Jalan-jalan tar kelihatan basah. Walhal ia baru sahaja kering tidak sampai seminggu lantaran salji yang turun selama 3 hari berturut-turut 18hari yang lalu dan meninggalkan lopak-lopak, tanah lembab dan lembik.
Jalan tar yang basah itu, tidak sebasah hati insan yang dilanda resah semenjak 2-3 hari itu.
Segala-galanya tercorak lantaran sangkaan dan usaha kita untuk itu. Maka positifkanlah diri dan perasaan  untuk mampir kepada kebaikan.


Diriwayatkan dalam sebuah hadis qudsi:
“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu di dalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hati-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (yakni jemaah para malaikat). Apabila hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Cuti ini Tuhan beri kita ruang untuk memperkasakan jiwa dan minda.
Cuti ini Tuhan beri kita peluang untuk kita menambah pahala.
Cuti ini Tuhan beri kita masa untuk kerap berkomunikasi dengannya.
Cuti ini Tuhan bagi 1001 satu rasa, agar kita sentiasa sedar saat kita terleka dan semakin menjauh denganNya.
Maka buatlah pilihan yang terbaik.
Sama ada mahu menangis sepanjang tiga minggu ini, atau mahu ketawa  sepanjang cuti ini, kita berhak memilih.
Andai tangisan yang menjadi pilihan, maka biarlah tangisan itu, adalah tangisan yang buat kita sedar akan kekurangan diri, dan segera bertindak menambah baik kekurangan itu.
Malah,biarlah tangisan itu, menambah gagah hati nan lemah!
Namun, andai ketawa yang dipilih, biarlah ia seadanya. Senyuman mungkin lebih baik menggantikan gelak tawa yang kononnya tampak bahagia, walhal hakkikatnya ada duka terselindung di balik tawa. Maka tawa itu,sekadar kepura-puraan untuk menutup resah yang tak kesudah.

Firman Allah s.w.t:
“maka biarkanlah mereka tertawa sedikit dan menangis yang banyak..,”
(Surah Al-baqarah: ayat 82)

Abu Dzar r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
 "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit tertawa, dan andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan keluar ke dataran tinggi menjerit-jerit kepada Tuhan menangis dan andai kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya tidak dapat bersuka-suka pada isterimu dan tidak tenang di tempat tidurmu……."
Jalan tar yang basah itu, pasti jua kan kering. Bumi syam ini bukan tempat tadahan hujan,namun ia tetap subur kesan dengan darah para syuhada’ ratusan tahun dahulu. Tangislah, tapi ia tetap pada kadarannya. Namun usah kerana tangisan itu,menghalang untuk kita terus tersenyum dalam menempuh hari-hari yang mendatang.
Kerana bukan hanya kita yang hidup di bumi Tuhan ini. Tapi kita ada orang di sekeliling yang memerhati malah butuh akan bantuan kita. Maka, apakah pekerjaan yang telah kita lakukan selain ketawa dan menangis? 
Sampai tiba di akhirat sana, soalan yang akan ditanya, tidak semata, mengapa kamu menangis dan ketawa, tetapi banyaknya soalan tidak terkira.
*Apakah yang telah kau lakukan sepanjang hidupmu?
*Apakah manfaatmu kepada ummat?
*Apakah telah kau dakwahi saudara-saudaramu?
*Apakah Islam yang kau anuti dan amali, sampai kepada orang lain jua?

Dan lain-lain yang bisa buat kita teruuuuus dirundung hiba.
Sedarlah dan bertindak..! Usah hanya menatap wajah di balik cermin besar di kamar sepi itu, tetapi gerakkan perubahan.
Jadilah kader-kader yang hebat dan penuh dengan manfaat.
Moga Tuhan hadiahi kita untuk istiqamah dengan amal-amal kebaikan. Allahhumma amen….

Wednesday, January 16, 2013

Dai'e di tali gantung


Yang memilih untuk terus berdiri
Yang memilih untuk terus memerhati
Yang memilih untuk terus merenung sepi
itu kamu

Lalu mengapakah kaku bisu di tepi tali gantung itu?
Dan tali gantung itu pun takkan terwujud andai engkau tidak memilih untuk mewujudkannya

seusai bersaing melawan arus
akhirnya kau terpilih sebagai juara
bukan semata aksi
tapi kerna gagah renanganmu buat kau berjaya lahir dari rahim itu

lalu dengan semudah-mudahnya
usai lewat kau tewas dengan sebuah pembodohan
kau hanya mampu terkaku..
sambil si tali gantung menanti untuk dimanfaatkan...??


Apa kisah tentang yang terpundak di bahumu..?
seorang anak
seorang sahabat
seorang adik atau kakak atau abang
seorang da'ie
malah, sebagai seorang khalifah..!

maka atas sebuah ketewasan kau merasa culas..?
lantas setia berdiri di tepi tali gantung
sambil memikir antara dua
teruskan hidup menongkah arus
atau mati dari meneruskan hidup di dunia penuh ummat yang celaru..??

tali gantung masih setia menanti
barangkali ia pun merasa tidak wajar akan tindakanmu
mencipta kematian sendiri
itu lebih bodoh daripada mati dalam melawan arus kebodohan!

Sementara kau masih bisa membuat pilihan
mohon kau undurkan kembali masa yang terus berputar
supaya kau kembali ingat,
bahawa perjuangan merempuh jutaan mani yang lain bukanlah sesuatu yang mudah
lantas mengapa di penghujungnya, 
kau memilih untuk berhenti tanpa dipinta..?

Berhenti menjadi seorang anak
berhenti menjadi seorang sahabat
berhenti menjadi seorang da'ie
malah mahu berhenti dari menjadi seorang khalifah..

Tuhan, selamatkan dia dari projek pembodohan yang dia ciptakan sendiri
Berikan dia keyakinan bahawa hakikatnya dia bisa meloncat keluar dari projek sia yang memagar dirinya..

Uraikan saja tali gantung itu
mungkin ia baik digunakan untuk menambat lembu dan kambingmu di belakang rumah
agar selepas itu,
tidak ada lagi da'ie yang tertewas dalam dunia pembodohan insan, turut memilih tali gantung itu!

-aura insani-
5 safar 1433h