salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Sunday, October 23, 2016

Kembara Seorang Graduan ( I )

Bismillahhirrahmanirrahim.

Sedaya mungkin usaha ku tebak jua rasa malasku.
Rasa ingin bertangguh dari menaip sebaris makna untuk dikongsikan bersama.

Entah telah berapa purnama menghilang, ditelan waktu-waktu yang seakan tidak bersenggang.
Lalu terkadang senggang yang wujud seakan terlalu sempit untuk diselit buat dikarang sesuatu sebagai perkongsian dan mana tahu ia mungkin sebagai pengajaran pada yang membacanya.

Al- kisah usai sahaja keputusan imtihan final semester keluar, segera tiket ke Bumi British itu ku tempah. Dua bulan setengah di sana dengan harapan dapat melatih lidah fasih berbicara menutur bahasa asing itu.

Namun nyata, meski saat persinggahan 12 jam di Athens memaksaku menutur kata di dalam Bahasa Inggeris tetap ketidak yakinan itu menguasai.

Asal lepas membeli sedikit cenderamata, bertanya arah jalan dan kembali semula ke airport, buatku merasa sedikit tenang.

Angah telah mengemailkan siap-siap surat perakuan tentang kehadiranku buat ku tunjukkan kepada pegawai imigresen di boarding London nanti. Segalanya lengkap dengan salinan gambar kad kredit, visa, serta alamat tempat tinggalnya.

Barangkali bimbang berlaku perkara yang sama dengan adikku sebelum ini, ditahan lama dan disoal banyak perkara. Di tambah pula, pasportku menunjukkan aku baru tiba dari Jordan a.k.a timur tengah yang sedang hangat dengan isu ISIS saat itu. Ia bisa membuat urusanku nanti bertambah rumit.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Selamat jua tiba di Birmingham City jam 3 pagi lebih dan tinggal beberapa minit sahaja lagi waktu bersahur bakal tamat.

Namun, hari-hariku di sana masih tidak mudah untukku meyakinkan diri berbual dengan warga sana dengan bahasa mereka.

Cukup dengan sebaris dua ayat pun sudah cukup menggugupkan. Walhal sepanjang dua bulan itu, banyak jua kembara ku secara sendirian.

Dua bulan bukanlah tempoh yang lama sebenarnya untuk aku benar-benar yakin diri berbicara dalam Bahasa Inggeris. Namun ia adalah satu tempoh yang agak lama untuk seorang musafir yang hanya berbekalkan beberapa pound demi meneruskan pengembaraanku di sana dan kembali pulang ke Malaysia (Back For Good).

Namun dua bulan setengah itu agak cukup untuk aku mengenali sikap dan jenis-jenis warga British itu, keadaan di sana, iklim, warganegara mana yang paling banyak berhijrah ke sana, berapa jenis Muslim dan cara anutannya serta kedai milik siapa yang paling banyak di sana.

Ah, pastilah setiap yang manis itu pasti ada pahitnya.
Seakan seimbang.
Banyak mana air mata yamg tumpah, begitu jua berapa kali senyum bisa ku ukir tanpa dipaksa.

Dan dari sana juga aku melihat sahabat-sahabat yang telah pulang telah mula bekerjaya, menyambung pelajaran dan pelbagai lagi, sedang aku masih di negara orang berkira-kira mahu jadi apa, mahu ke mana, sedang segalanya pernah ku tulis dalam diari hidupku.

Aku, kau dan mereka harus tahu, bahawa perancangan kita adalah sepenuhnya di bawah perancangan DIA, Allah s.w.t.

DIA yang akan membantu kita menjayakannya dan DIA juga yang akan memperbaiki perancangan-perancangan yang tampak baik di penglihatan kita, namun hakikatnya DIA lebih mengetahui.

1 September 2015, aku selamat tiba di Tanah Air nan gersang ini demi meneruskan hidup sebagai seorang hamba dan Khalifah.

Segala puji bagi Allah yang memberi aku kesempatan mengunjungi dunia luar. Mudah-mudahan masih ada ruang dan peluang untuk ku mengembara jauh lagi buat kali yang seterusnya.

Catatan 22 Oktober 2016,
Kamar Sepi,
Shah Alam.