salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Tuesday, December 31, 2013

Terima kasih

Terima kasih.



Terima kasih,
Buat yang pernah memberi dalam hidup ini,
walau cuma seukir senyuman,...
walau cuma sebaris ucapan,
buat berkongsi semangat.

Terima kasih,
buat yang sudi berkongsi bahu,
meminjamkan telinga,
menyeka kolam air mata,
meluang masa walau seketika,
sedikit sebanyak mengurangkan sesak di jiwa.

Terima kasih,
buat yang sudi duduk bersama,
bertukar ilmu juga idea,
mengisi kosong di dada,
buat merawat ummah yang sarat.

Terima kasih,
buat yang sudi menegur saat tersilap
membetulkan apa yang tersalah
juga sudi memberi nasihat
saat aku benar butuh akannya.

Terima kasih,
buat yang pernah menjerkah hina,
melempar kasta,
meludah nista,
mengejek senda,
mengajuk kata,
menoreh luka,
buat aku lebih tegar untuk berdiri
meski dalam sebuah kepayahan.

Terima kasih,
Terima kasih buat kalian yang pernah menconteng, mencorak dan mewarna kanvas hidupku.

Sewajarnya ucapan syukur dan terima kasih itu,
aku panjatkan pada Tuhan,
kerana menghantarkan kalian sepanjang perjalananku menujuNya..

Terima kasih Tuhan,
kerna memilih aku untuk berada di bumiMu.

Terima kasih Tuhan,
kerna masih sudi menuntun langkahku untuk dekat denganMu.

Pintaku,
moga riwayat hidupku berakhir dengan sebaik-baik pengakhiran.

-Abid Imtiyaz-
311213

Tuesday, December 24, 2013

Menongkat dunia.

Tongkat kayu itu dibaringkan di sebelah tilam.

Sebelum ini pun dia meletakkan sebatang kayu panjang yang lebih nipis berbanding tongkat kayu itu di sisi katilnya buat persediaan jika rumahnya dimasuki perompak. Cuma kali ini dengan tujuan yang berbeza.

Dia menghela nafas perlahan setelah berjaya meletakkan tubuh di atas tilam tanpa katil itu.
Sakit.

Keningnya berkerut menahan.

Kalau mahu membaringkan diri pun sudah sakit, apatah lagi sewaktu dia ingin berada di posisi duduk.
Namun kesakitan itu bukan tiket untuk dia berendam air mata.

Cuma, kalau sakit itu menyentak urat sarafnya, sakit peritnya bisa menarik keluar air mata.


Tab jenama x-touch itu ditatapnya.
Ada lebih kurang 40 ayat dari surah annahl beserta tafsirannya yang belum habis dibaca. Ya, yang belum dibaca dan dihadam.

Jadual exam yang terbaru sudah keluar. Berganjak jauh dari tarikh yang sepatutnya.
Tarikh terakhir exam untuk subjeknya di fasal itu, sama hari dengan tiket flightnya cuma berbeza empat jam.

Dia menahan keluh. Pernah sewaktu di dalam kelas hafazan empat tahun lalu, dia ditegur oleh ustazah tasmiknya.

Kata ustazah, apabila kita mengeluh, seolah kita berputus asa dengan takdir Allah.
Maka sehingga saat ini, setiap keluhan yang ingin terbit dari jiwa sebal, cuba ditahannya daripada terzahir.

Dua-tiga hari lepas, dia masih mampu bertahan. Fikirnya sakit yang menyerang secara tiba-tiba itu barangkali sembuh selepas dua-tiga hari. Tapi hari ini sudah melepasi hari yang ketujuh.

Cukup seminggu. Dan sepanjang tempoh itu, air matanya tidak pun selalu tumpah.Kolam air matanya cuma tumpah saat urat sarafnya bagai disentak secara mengejut. Kemudian, sepi. Air matanya kering kembali.

Bukan mudah untuk melatih diri menjadi tabah dan kuat.

Sudahlah setiap bulan pasti dia tidak ke kelas gara-gara sakit wanitanya akan bertamu saat tiba awal bulan. Di tambah dengan sakit-sakit yang tak dijangka sebegini, kadang-kadang buat dia seakan mahu berputus asa.

"Tuhan..Tolonglah.. tolonglah..Tuhan, lemahnya aku..", rintih itu tanpa pernah putus diulang-ulang.

Cadangnya siang tadi, ingin ke markaz sihhi jami'ah (klinik di universiti), tapi kudratnya cukup-cukup untuk dia berdiri sahaja. Maka dia terus terbaring lesu di atas tilam yang telah berusia lebih 4 tahun itu tapi masih tebal dan sesuai diletakkan di bawah tanpa katil berbanding tilam asalnya yang sedia nipis meskipun baru berusia dua tahun lebih.

Ah, bercerita tentang tilam pula. Dia mengurut-ngurut perlahan pinggang belah kanannya itu sambil dia masih berfikir-berfikir punca sakit itu datang menyerang. Yang menambah kemusykilannya juga adalah kerana dia sudah masuk tahun ketiga menghadapi musim sejuk,tapi rasa sakit yang menyerang seolah-olah dia baru pertama kali merasai cuaca musim sejuk itu.

Atau mungkin, saat itu semakin dekat..??
Jeda seketika.

Masanya yang telah berlalu, rasa lebih banyak dipenuhi dengan berjimba-jimba dan berlengah-lengah dengan waktu.

Sedang yang makin hampir dan berlegar-legar di sekitarnya tidak dia sedari. Sedar atau mungkin terlalai kembali. Nyata dia cuma insan. Perlu diketuk-ketuk hatinya baru dia tersedar yang dia sebenarnya hampir "lost connection" dengan Tuhan.

Astaghfirullahhal azim.
Diraup kedua tapak tangannya yang sejuk itu ke wajah sugulnya.

Sekurang-kurangnya dengan sakit ini, buat dia rasa dekat dengan DIA. Sebab dia sangat makruf, sihatnya dia atau sakitnya dia, DIA yang beri dan tentukan. Maka mengapa perlu mencari selain DIA untuk mengadu rasa..??


Matanya dipejamkan perlahan sambil dia cuba membangunkan tubuhnya untuk disandarkan ke bantal yang disusun tegak ke dinding bagi menampung kedudukannya.

Sakitnya masih menyucuk. Tapi sampai bila harus begini. Air matanya tumpah lagi. Segera dikesat matanya yang terus berkaca-kaca itu.

Istighfar.
Masih dipujuk hatinya. Botol air mineral di sebelah tilam segera dicapai. Usai bismillah dan dua-tiga kali tegukan, dia kembali mencapai kita syarah ibnu 'Aqil yang sedari semalam pinta dibaca.

"Moga sakit ini bisa membasuh kelam hatinya yang semakin mengeruh dek dosa-dosa yang terpalit sekian lama," bisik hatinya.

Dia kembali tenang.
Moga Tuhan hadiahi dia dengan kekuatan iman dan ketabahan hati serta kekentalan jiwa dalam menghadapi saki baki usia yang menanti saat untuk berakhir..

Dia juga mahu tenang bertemu Sang Penciptanya.



Al haqir wal faqir ilallah,

-Abid Imtiyaz-
Kamar sepi,
Bayt Aflah.
2411213

Aku bukan si orang tua

Gerakku,
Lakuku, Sudah seperti orang tua-tua Atau mungkin orang-orang tua lebih cergas dariku
Layaknya seperti nenek si bongkok tiga, Tapi tak pernah aku tahu, Bagaimana sakit atau lenguh nenek itu membongkok Ketika sujud ataupun rukuk..
Nyata kini aku yang merasa, Di atas jalan meredah malam sejuk pulang dari rumah seorang guru Hampir rebah angkara sakit si tulang belakang Merebaknya hingga ke pinggang Mujur ada teman yang sudi memapahku pulang.
Aku tidak tahu adakah sakit peritnya memang begitu Kerna yang lebih aku makruf, Sakitku berpilihan raya mampu buat aku mengasingkan dari keramaian Mencari makna sebenar bertanding bukan atas pilihan..
Nyata jedanya bukan sebentar... Mujur Tuhan hadiahi cuti buat aku bermuhasabah diri
Terima kasih buat teman-teman yang sudi membantuku mengesat air mata Saat aku sakit berpilihan raya, atau saat sakit tulang belakangku terkepit.. Moga Tuhan rahmati kalian..
Salam juang dari kejauhan...

21 Disember 2013
Abid Imtiyaz, Terdampar sepi atas katil, Bayt Aflah.

Friday, December 13, 2013

Aku dan sedinar.


  Hujan.

Aku mengintai dari tingkap dapur. Lebat hujan yang membasahi bumi sejak tengahari tadi sudah merenyai.

Biasanya Cuma lima minit yang aku perlukan untuk bersiap keluar, tapi petang ini terpaksa aku menambah lima minit lagi demi memastikan aku meninggalkan rumah bukan dalam keadaan tersiksa dek kesejukan luar yang mencengkam sehingga ke tulang hitam.

Suhu sudah berkurang sehingga 2’c. Malam ini salji diramalkan akan turun. Percaya atau tidak, “sediakan payung sebelum hujan” adalah lebih baik.

Kasut salji telah siap aku sarungkan.

“K.teh balik tak malam ni?” adik rumahku bertanya dengan separuh menjerit dari biliknya.

“ Salji k.teh tak balik. Jaga rumah, assalamualaikum,” jawabku pantas sambil menutup dan mengunci pintu rumah.

Jarak perjalananku ke daerah itu mengambil masa lebih kurang setengah jam dengan keadaan cuaca yang begini ditambah lagi dengan lopak-lopak air yang bakal melambatkan lagi langkahku.
Deringan telefon yang berkali-kali pinta diangkat tidak mampu ku jawab. Kebas. Tangan ku sisip ke dalam kocek baju bagi mengurangkan kebas.

Cuma satu panggilan dari seorang teman mampu aku jawab, itupun tidak mampu untuk aku berlama-lamaan di talian kerana bimbang ada kolam lain yang akan pecah. Sebak.

Cadangku ingin menyinggah sebentar ke kedai roti sebelum langkahku diorak lebih jauh.
Namun belum sampai betul-betul depan kedai roti itu, dari kaca pintu aku melihat pak cik-pak cik arab sedang beratur panjang. Segera mataku melihat jam di tangan.

Masaku cuma berbaki 10 minit sebelum azan maghrib dari kaset-kaset dipasangkan. Suram senja semakin kelam. Destinasiku masih jauh.

Segera kakiku menuju ke satu kedai untuk membeli alas perut dan minuman bekalan untuk 2-3 hari (barangkali).

Mulanya barang-barangku cuma berjumlah JD 1.50, maka baki yang harus ku terima dari nilai JD5 yang ku bayar adalah JD 3.50. Kemudian aku menambah beberapa biji telur ayam yang harga pasarannya tidak menentu itu lalu membuatkan penjual sendiri tersilap mengira.
Katanya 6 biji JD0.90. 

“Lau  ana biddi dinar, geddish beid saahsil?” penjual itu mula mengerutkan dahinya. 

Biasanya dengan harga JD 1, adalah tukaran untuk 8 biji telur ayam sederhana besar. Namun disebabkan ada pelanggan-pelanggan lain yang menanti dan aku juga mahu cepat,

“ toyyib mu’allim, biddi sittah beid bas, masyi?” laju sahaja penjual itu meletakkan baki di kaunter.
JD 1.50 sahaja ku kira. 

“Mu’allim, ana bas akhuz sittah beid. Albaqi la yakfi,” penjual itu seperti tidak acuh melihatku.
Dua minit aku menanti sambil otakku yang hampir beku mencongak semula.

Ya, baki yang harus aku terima adalah JD 2.60 kerana aku menambah telur yang harganya berjumlah JD0.90 tu. Namun hasil kiraan itu masih samar-samar.

“Hay ziyadah baqi,” penjual itu menghulurkan juga tambahan baki.

“10 qurusy bas?” penjual itu sudah tidak melayanku. Semua pelanggan arab yang ada di situ melihat ke arahku. Segan aku di situ.

Sambil kakiku segera melangkahku keluar, baru jawapan congakan kiraan bakiku ku temui. Benar, baki sebenar adalah JD 2.60. Tetapi yang dipulangkan JD 1.60. 

Sedinarku melayang dengan hati yang kesal. Kesal yang bercampur baur dengan bimbang kerana perjalananku masih jauh ditambah dengan hati yang resah gelisah akibat ‘sesuatu’ itu.

Maka aku gagal memfokuskan, apa yang sedang aku rasai saat itu. Segalanya bercampur baur dalam lumpur-lumpur yang bercampur dengan ketulan frost-frost putih di jalanan. 

Dengan izin DIA yang Maha Pengasih dan Penyayang, aku Berjaya tiba di daerah itu sebelum azan kaset dipasangkan tanda waktu maghrib telah masuk. 

Hari ini hari ketiga aku mengasingkan diri.
Salji pun seperti ingin mencair meskipun suhu masih 0’c. 

Mahu atau tidak, aku harus pulang. Banyak yang aku perlukan, tiada di daerah ini. Tapi aku sangat bersyukur kerana Allah menghadiahi aku dengan perkara yang lebih manis.

Setidak-tidaknya dengan hijrah seketika ini, jiwa yang sakit sedikit terubat. Pasti sahaja DIA mahu aku mendampingiNya hari-hari, baru jiwaku terawat dan tidak berkarat...!!!

Ah, aku cuma insan. Jika di pandanganNya pun aku sangat faqir, apatah lagi aku di mata insan yang lain.

Meskipun JD 1 ku melayang dek penjual yang “tersilap” dalam mengira, aku juga berharap mereka yang menggadaikan JD 1 untuk mengisi borang pencalonan buatku juga tidak “tersilap” dalam menilai kemampuanku.

Dan sejauh manapun aku berlari dari perkara yang telah tercipta untuk aku hadapi, aku takkan bisa melarikan diri tanpa keizinanNya. Mahu atau tidak, ia tetap perlu aku hadapi dan depani dengan jiwa yang kental dan iman yang gagah.

Dari birai jendela di daerah sunyi ini, salji yang putih sudah banyak yang berubah menjadi lumpur coklat.

Namun jauh di sudut hatiku, penuh dengan harapan agar jiwaku yang pernah gagah suatu masa dahulu tidak mencair seperti salji dan imanku tidak menjadi keruh seperti salji yang sedang mencair itu….









Wahai Tuhan yang menjadikan aku dan yang mengatur riwayat hidupku,
Juga Tuhan yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi,
Harapku, pintaku, mohonku,
Moga sedinarku dan sedinar mereka itu, tidak melayang salah ke tempat yang salah…



Al faqir wal haqir ilallah…
Abid Imtiyaz
Daerah sepi.
121313

Saturday, December 7, 2013

Menanti salji~


Menanti butir-butir salji gugur
mememutihkan bumi dan hati
perlukah?

Saat diri terasa noda yang menghitami
Saat diri terasa kelam yang menguasai

Lalu, menanti salji..??
Sambil berpeluk lutut dan menangis tak henti..??

Timah tak dipandang tanpa ditempa
Permata tak berkilau tanpa digilap
Hati takkan kuat tanpa diduga
Iman takkan gagah tanpa diiuji

Namun,kunci tiap sesuatu itu adalah
berbaik sangka dengan TUHAN

Kau bukan dibaling bata ke kepala
atau dilempar pasir ke mata
dan bukan jua dipalit tahi unta..

tapi, anggaplah ujian dan cabaran yang mendatang silih berganti itu
seperti hujan emas yang turun bertimpa-timpa

Maka,
tak perlu salji itu kau nanti tiba..

Kerna, seperti yang kau maklumi,
putih salju itu
penghujungnya akan keruh jua.....


Saturday, August 31, 2013

Kembali.

Harum sakura yang pernah meniti di batang hidungku 
Ranum anggur hijau dan ungu
Juga ranum buah tin yang dikunyah tak jemu
Serta buah zaitun yang menjadi wasilah merawat sakit kulitku

Ya, bukan semata kerana itu aku rindu
aku rindu

dataran syam yang banyak mengajar aku untuk terus hidup
yang mengajar aku untuk terus memperbaiki diri
menjadi sebaik-baik hamba dan khalifah

meski para syuhada' mu'tah itu telah berabad di maqamkan
semangat juangnya sedikir sebanyak memperngaruhi jiwaku..

Mu'tah, kini aku kembali!

Terima kasih ya Rabb..
kau izinkan jua aku menapak kembali di tanah ini

Moga rindu ini benar-benar tulus keranaNya...




Saat anak-anak ummi memohon ummi mendoakan mereka, pasti ayat yang keluar, "semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat dengan akhlak yang terpuji".

Anak-anaknya yang 12 orang itu, memang terserlah kenakalannya. Kerana itu doa buat kami supaya kami dikurniakan akhlak yang terpuji tidak lekang dari doanya.

Kelmarin,itulah jua ucapan terakhir yang ummi lafazkan pada saya sebelum kami berpisah. Usai meninggalkan mereka (ahli keluarga) di balai berlepas, jiwa insaniku pasti tetap luruh akan perpisahan itu.

Sempat jua abah menitip pesan,aku selaku anak yang keempat, harus jua bertanggung jawab ke atas lapan orang adik-adik di bawahku.

Semoga Allah merahmati mereka dan memanjangkan usia mereka agar aku sempat membalas jasa baik mereka selama 23 tahun.

Masih ada dua tahun lagi berbaki untuk aku di sini.
Moga dua tahun yang bakal berlalu itu, sempat untuk aku memperbaiki seluruh kekuranganku demi menjadi seorang hamba, daie dan khalifah yang bermanfaat untuk ummah!


31 Ogos 2013
Aura insani,
Kamar sepi Bayt Aflah~

Wednesday, May 22, 2013

Pernah dulu..


[Pernah dulu ku fikirkan
Tanpa cinta tak mengapa
Bila kau pergi kurasakan
Sunyinya di hati
Baru kini ku tahu
Nilai cintamu...  ]

(nyanyian Allahyarham Sudirman)

Kita memang perlu disentak-sentak,
kerna bila dibelai-belai yang seringnya kita leka
seolah mamai dibuai-buai mimpi dunia

Fatamorgana sering menipudayakan kita.
Ya,dunia itulah.

Setelah sekian lama tidak aku bermuhasabah dengan bait puisi
Akhirnya hari ini, TUHAN ingatkan aku
dengan cara yang sama DIA mengingatkan aku suatu ketika dahulu...

Sungguh,ia benar-benar menggugah jiwa yang tampak gagah namun hakikatnya penuh dengan kegundahan...



Tuhan 

Dulu aku berkejar memelukmu
Terdengar seruanmu ku memecut kearahmu
Saat itu ku dipeluk erat
Nafas nyaman tidak ketat
Jiwa ku tenang tidak melarat,



Tuhan
Kini aku tinggalkanMu ditiang seri
Semacam ku lari tidak terperi
Dipeluk pula si kulit babi
Seruanmu aku tidak peduli
Dijiwaku Kau Mati

Tuhan
Dulu kita bercinta kasih
Setiap malam aku merintih
Saat tu juga Kau melatih
Cinta kita kian berputih
Dunia tidak lagi ku toleh

Tuhan
Kini aku seolah bercerai dengan Tuhan
Cinta kini hitam lah legam
Panggilan cinta ku tidak genggam
Ku biar cinta kita suram
Dunia pula aku digigit geraham

Tuhan
Dulu aku rindu padaMu
Setiap hari pasti kutemu
Jika tidak hati tidak menentu
Hilangkan dosa selalu ku ampu
Kerana Kau kekasih hatiku

Tuhan
Kini rindu ku sudah kelam
Hilang cahaya bergemerlapan
Hinggakan Kau ku perduakan
Cinta ku cenderung pada perempuan
Bukan lagi pada Tuhan

Tuhan
Hari ini, aku disumpit 
Rindu saat kita berkepit
Rindu jua kucupan mu yang menarik
Menjadikan jiwa tidak tersempit
Nyaman dan tenang datang berkapit-kapit,
Rindu untuk berkepit
Keluarkan aku dari mabuk yang rabit
Kepada mabuk yang thabit.
Aku rindu padaMu 
Ya Allah...

(Nukilan: Ahmad Fahmi Mokhtar)


Monday, May 6, 2013

Sugul anak perantau



Meski kami berstatus pelajar
ditambah pula menuntut di luar negara
tidaklah ia menjadi penghalang untuk kami turut cakna

28 April yang lalu
Selesai sudah tanggungjawab kami selaku pengundi luar negara

Lalu doa-doa dihantar
Moga undi-undi kami selamat sampai pada haknya dengan izin TUHAN ya rabbal 'alamin

Setiap detik dan waktu yang berlalu
kami iringi dengan sejuta pengharapan dan doa
Moga 5 Mei mencatat sejarah baru buat tanah air tercinta


Namun 5 Mei itu,
Tuhan menguji kami dengan 'assignment' yang membukit
3.30 petang waktu Jordan adalah waktu pengisytiharan keputusan pilihan raya Malaysia yang ke-13
Jam 5 petang itu Tuhan hantar juga kami ke sana (tempat berkumpul untuk bersama-sama melihat secara live keputusan diumumkan)

Dengan berbekalkan kepercayaan 100% kepada DIA,
Maka kami bersama-sama pelajar-pelajar lain,
tekun menekuni Astro Awani di rumah persatuan

detik demi detik berlalu
jam demi jam terus berputar
dari angka 3.30, 4.30, 5.30, 6.30 petang
banyak kerusi dun, parlimen, dan negeri yang belum diumumkan lagi
ternyata 'muka buku' lebih laju updatenya berbanding TiBi milik mereka.

Bagai ada sinar
laungan takbir dan tahmid diulang-ulang

Benar,
Kami anak-anak perantau benar-benar inginkan perubahan!

Cukuplah sejarah negara sebelum ini mencatatkan
tanah air kami punya pemimpin-pemimpin yang terlibat secara lansung dengan jenayah!

Rasuah,
Fitnah,
Politik lucah,
pembunuhan...dan lain-lain..

Saat azan maghrib berkumandang di bumi Mu'tah,Jordan ini,
Malaysia sudah pun menghampiri dinihari
bayangkan dari jam 8.30 malam mereka (rakyat Malaysia) menanti
sehingga saat jam 12.30 malam keputusan rasmi masih banyak yang belum rasmi

Ia benar-benar sejarah!

Usai maghrib berjemaah,
Astro awani kami tatapi lagi
Meski diberitakan peti undi hilang dibawa lari
atau tiba-tiba datang peti undi tambahan dengan isinya hanya satu undian
kami masih setia menanti

Mengharap dengan sepenuh pengaharapan...
TUHAN, menangkanlah kebenaran, tumbangkanlah kezaliman....

Jam 8.15 malam waktu Jordan
Jam 1.15 pagi waktu Malaysia

Pengunguman yang seakan menghentikan segala pergerakan
Suasana bagai sedang ditekan "Pause"
Lima minit kemudian kembali bernyawa

ternyata ada di antara kami yang tewas dalam air mata
sebaknya TUHAN sahaja yang tahu

Lebih 5 jam penantian,
dengan sekelip mata,"black out" mengubah keputusan pilihanraya!

Kun fayakun Allah cuba diatasi mereka

BN atau dikenali sebagai Bangla Nation menjuarai permainan

Demi mengurangkan ucap kata yang keluar penuh beremosi, segera kami berkemas untuk pulang ke rumah masing-masing.

Istighfar dan selawat terkumat kamit di bibir
cuba meredakan hati yang sakit dek permainan kotor yang lebih kotor dari 5 tahun dahulu.

Hingga kini, masih ada air mata yang tumpah.
Ya,belajar untuk membina kekuatan.

Tiap kali "muka buku" dibuka,
bagai ada yang menoreh luka yang sedia terhiris sejak semalam..

Allahhu musta'an..
Hasbunallahhu wani'mal wakil.

Tuhan...
izinkan kami terus bangkit dalam memperjuangkan keadilan dan meruntuhkan kebatilan...
Jauhkanlah kami dari golongan-golongan munafiq yang sentiasa berusaha memecah belahkan ummt Muhammad s.a.w.
Izinkah kami menjadi orang-orang yang berusaha memelihara kemuliaan agama-Mu ya Allah..
Allahhumma ameen..


[6 Mei 2013]
Tinta dari kamar sepi
Bayt Aflah,
Mu'tah, Jordan.


Tuesday, April 16, 2013

Cinta yang terkedua.

Saya pernah mencintainya.
Malah hingga kini!

Tiap kali mengenangkannya, pasti ada sebak yang mencengkam.

Bila teringat abah, sekali lagi pasti perkara itu menyentak saya!

Saya pernah mencintanya.
Setulus hati.

Sejak saya berusia tujuh tahun saya telah jatuh cinta padanya!

Abah memperkenalkan saya padanya sejak usia merangkak saya.
Kerana itu saya mampu menaruh kecintaan saya padanya sejak kecil lagi.

Pernah di suatu persimpangan, di akhir persekolahan saya,di tingkatan lima saat itu,DILEMA mengharu birukan hati.
Mahu pilih dia, atau yang satu lagi, atau yang satu lagi itu....

Lama dilema itu menggundahkan hati.


Saat ada sahabat setingkatan yang tahu saya mahu memilih Bahasa Arab sebagai bidang lanjutan di peringkat ijazah sarjana muda, sudah ada yang berbunyi.

"Kaukan minat giler dengan Ekonomi, apsal tak amik ekonomi je?"

"Bukan markah PSI (pendidikan syariah islamiyyah) kau paling tinggi ke, asal tak amik je bidang tu..??"

"Memang semua family kau amik bidang tu eh..??"  [Ni antara soalan yang tak boleh blah saya terima. Belum ada sorang pun lagi dari adik beradik saya yang 12 orang tu yang menyambung pengajian di peringkat degree dalam bidang Bahasa Arab. Hatta bidang fiqh pun,cuma kakak sulung saya seorang.]

Akhirnya dalam dilema itu, saya telah diberi masa selama tiga tahun oleh Allah s.w.t untuk membuat keputusan yang lebih baik.

Di antara tawaran ke USIM dalam pengajian tamhidi syariah undang-undang dan Diploma tahfiz di Darul Quran JAKIM, saya telah memilih yang kedua.

Maka sepanjang tempoh itu, saya meneruskan pengajian saya di peringkat diploma. Fokus saya sepenuhnya pada Alquran saat itu. Tetapi saya juga telah diberi peluang untuk menambah pengetahuan dalam bidang-bidang lain.

Saya cuma ada tiga pilihan. Tahfiz Alquran wal qiraat, tahfiz Alquran wal dakwah, atau tahfiz Alquran wal syariah.

Disebabkan saya pernah berhajat untuk menguasai bidang syariah, maka itu yang menjadi pilihan saya sepanjang tiga tahun di Darul Quran JAKIM.

Usai tiga tahun, saya kembali dilema meskipun borang sambung belajar di peringkat degree telah saya isi.

Antara bidang-bidang yang saya pilih,
1) Bahasa Arab
2) Fiqh  [walaupun kakak sulung saya bising-bising suruh saya ambil bidang lain supaya keluarga kami mempunyai banyak keperlbagaian]
3) Pengurusan kewangan
4) Ekonomi
5) Syariah perundangan

Dengan izin Allah s.w.t saya telah menerima tawaran ke UIA dalam bidang fiqh dan cabang-cabangnya.
Tetapi Tuhan telah menghantar dahulu hati saya ke bumi syam ini.

Saya diterima untuk menyambung pengajian di Jordan dalam bidang yang sama.
Maka di sinilah segala-galanya teruji!


Ya Tuhan...
Cinta memang senantiasa kan teruji.

Semester pertama di sini,saya gagal memujuk hati dengan sesalan-sesalan akibat tidak menguasai bahasa arab terlebih dahulu.

Saya mula hilang fokus di dalam kelas.
Pointer semester dua saya merudum jatuh.

Hujung tahun pertama, saya meninggalkan semester musim panas menuju ke Mesir mencari markaz bahasa. Di bumi kinanah itulah saya mengumpul kembali semangat yang kian luntur dek kesilapan membuat pilihan.

Segala puji-pujian bagi Allah s.w.t yang telah menghadiahi saya kekuatan baru untuk meneruskan perjalanan nan panjang.

Sungguh musafir mencari jiwa yang hilang itu mampu menjadi wasilah yang terbaik untuk merawatnya.

Hingga kini, saya sudah pun berada di penghujung tahun kedua di Mu'tah University of Jordan dalam bidang Fiqh dan cabang-cabangnya.
Sekali lagi semester musim panas untuk tahun ini akan saya tinggalkan.

Kali ini hijrah saya akan berpusat di sekitar tanah air tercinta.
Pulang sebentar buat mengubat rindu yang berkecamuk di jiwa.

Ada amanah yang tergalas.
Ada tanggungjawab yang menanti.

Pulang nanti, pasti abah akan berbicara dengan saya dalam Bahasa yang sangat saya cintai, tapi masih gagal untuk saya kuasai sepenuhnya.

Pulang nanti, saya akan manfaatkan abah dengan sebaiknya kerana dialah sumber inspirasi untuk saya jatuh cinta dengan Bahasa Alquran itu!

Percayalah, bahasa arab adalaha bahasa alat.
Bahasa arab adalah kunci atau wasilah untuk kita menguasai banyak perkara terutamanya di timur tengah ini.

Meskipun saya mungkin tidak mampu menjadi sehebat Aishah r.anha, tetapi doakan saya untuk menjadi sehebat Fatimah Azzahra' Bintu Rasulillah s.a.w...!!


Wednesday, April 3, 2013

Cuma Insan~


Kita adalah insan
Menumpang atas dunia
Aku dengan caraku
Yang sederhana

Kita adalah hamba
Berbakti pada Yang Esa
Aku mencari sinar
Keredhaannya

Kita sama sahaja
Bezanya cuma amalan kita
Engkau dan juga aku
Saling perlukan

Oh cinta yang murni
Sebagai ikatan
Yang kukuh di hati
Demi masa depan
Jangan dihancurkan
Hidup yang indah ini
Akibatnya merana

Jangan hancurkan
Hidup yang indah
Kita adalah hamba Yang Esa

By Yantzen

Sunday, March 31, 2013

Alpha betta Gamma

Tiba-tiba teringat lagu ni,
Menyentak dan tersentak..!!

Mohon ada gerak di setiap kesedaran yang bertamu...



-Alpha by Devotees-

Alpha betta gamma
Hubbal mali hubban jamma
Bila dukka dakkan dakka
Dan hadirnya soffan soffa

[123
manusia mencintai harta lebih dari segalanya
apabila bumi bergoncang berturut-turut
dan malaikat datang berbaris-baris
(Al-Fajr:20-22)]

Alpha betta gamma
manusia mengira-ngira
harta bagai pengabadinya
kuasa jadikannya raja
hatinya berlumba-lumba berkejar harta
sabar tiada apa jua cara
asal bisa kaya
harta kunci ilusi maya
kumpul dan kira harta
kerananya hidup kita sangka
harta bagaikan pahala
kiranya kita di dunia

merenung jauh kisah manusia
hanyut di dunia yg penuh gelora
bicara ini mengungkap rasa
Cerita lara di akhir masa
manusia rakus mengaut segala
pangkat harta kuasa malah dunia
material menguasai jiwa
pedoman tuhan ketepi semua
bila di belai di kaburi kemewahan
keliru kesamaran mana arah tujuan
terpesong dari landasan perjalanan sebenar
juga cahaya iman di hati makin pudar

perjalanan penuh onak cabaran
terus melangkah pandang ke hadapan
setelah ku lalui banyak kekalahan
ku hadapi kecewa itulah dugaan

telah ku aku atas silap yg lalu
ku harungi jua biar ku rasa kaku
terasa detik terus mengejarku
harusku pasrah perjuangan tak layu
pengalaman harus aku terima
sbg pengajaran ku hadapi jua
jika berulang aku pasrah terima
asal tak hilang rasa syukur dan percaya

pesona dunia mengikut selalu
tak terasa diri sering tertipu
segala perilaku belanjakan nafsu
dalam hati hanya mahu wang beribu
tak kira masa rasa tamak haloba
itu hanya untuk suka-suka saja
tak sedar semua milik yg Esa
celik di mata tapi hati buta

Saturday, March 2, 2013

Wasilah islah.

Seminggu. Ya, cukup seminggu.
Tengegelam dan hanyut dibuai kekeliruan dalam meneruskan langkah dek testing-testing dari TUHAN yang tak pernah menyepi dari mencuba diri.

Jawatan adalah sebuah amanah bukan sebuah kemuliaan.
Kerana itulah dalam terang saya teraba-raba mencari cahaya untuk keluar dari lingkungan ketakutan itu.
Masalah saya adalah saya kurang percaya diri.

Adakalanya, kita gagal melihat potensi diri.
Hingga suatu saat, ada orang lain yang terpaksa membongkar satu persatu berkaitan dengan diri kita.

Sebab itu pentingnya sahabat yang baik bukan?
Dialah yang akan membantu kita saat kita teraba-raba dalam kegelapan.
Dialah yang akan menuntun langkah kita saat kita teragak-agak meneruskan perjalanan.
Dialah yang menjadi wasilah TUHAN menghantar kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

Meski saya tidak suka mencipta musuh, namun dalam hari-hari sepanjang hidup kita, kita takkan bisa menjadi sempurna walau pelbagai cara yang kita lakukan.
Maka saya hargai apa yang mereka tidak berpuas hati dengan saya dan luahkan, sebagai muhasabah dan bekalan sepanjang mengislah diri.

Terima kasih kepada mereka yang pernah "memberi" sepanjang hidup saya selama 23 tahun ini.

"boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." 
(Surah Al Baqarah:216.)



Ada yang kata, saya telah kalah dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan untuk tahun ini.
Tapi, percayalah..
Dalam kemelut yang melanda diri, saya lansung tidak merasa kalah sewaktu keputusan diumumkan.
Kerana saat sebelum itu lagi, Tuhan sentiasa membisikkan pada saya untuk sentiasa bersedia.
Ya, bersedia untuk ditarbiyah..!!


Jalan ini masih panjang..
Meski hakikatnya saya tak pernah tahu bila nafas ini akan terhenti.
Namun setiap hari,proses pengislahan diri tetapi perlu dijalani.

Saya belum cukup ditarbiyah.
Belum gagah untuk menongkah.
Dengan diri yang serba kurang dengan thaqafah.

Iman dan hati pun sering goyah.,
bagaimana mahu istiqamah...???

Maka kerana itu, Allah menghantar saya untuk melalui sebentar jalan ini.
Siapa yang suka dirinya dikempen untuk pengetahuan umum?

Tapi, mungkin inilah wasilah yang terbesar untuk TUHAN sedarkan saya..!!!
Terima kasih TUHAN untuk Kasih Sayang ini...

p/s: please, I am not a loser.



Sunday, February 10, 2013

Juzuk kehidupan


Mencari serasi yang seakan sukar untuk ditemui
cinta tak pernah salah
tapi kita yang sengaja membutakan mata hati


Siapa pun yang hadir dalam hari-hari sepanjang hidup ini,
hargailah..

Moga saat ia usai pergi,
tiada penyesalan penuh tangisan tak berlagu....

Serasi itu pilihan
Cinta itu bisa disemai
belajarlah menerima dan memberi
moga nanti, hidupmu berakhir dengan senyuman penuh kedamaian.

Doaku tetap mengiringi hidupmu selagi hayat dikandung badan...