salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Sunday, October 25, 2015

Waktu dan pilihan.

Entah,sampai bila
Harus memeluk lekuk-lekuk hidup erat-erat         
Entah,sampai bila         
Harus dibiar rasa hati agar terus kuat                   
Sedang, maut tak pernah membuat temu janji pun takkan memungkiri akan kehadirannya.       
                
-Ana Imtiyaz,
20 oktober 2015 -

Masih dibuai ketidak yakinan akan diri untuk memandu. Lalu diberi alasan akan mobil yang cuma satu dan yang itulah dibawa abah ke mana ia perlu.

Seakan menafikan bahawa 'aku ini sebenarnya mampu'.

Sudah musafir ke banyak negara secara bersendirian pun masih tak bisa melepas jauh sebuah fobia. Lalu aktiviti seharian menjadi terhad.

Lalu yang ruginya?
Kamu itu.

Ah,maksudnya ditujukan buatku.
Sekali kau tersalah dalam pemanduan bukan bermakna selamanya kau kan terus salah dan jatuh di lubang yang sama melainkan kau masih statik hingga kini. Lansung tiada apa-apa usaha untuk merobah keadaan.

Mengharapkan sepenuhnya pada pengangkutan awam?
Hei, ini Malaysia lah!
Kau bukan berada di eropah.
Yang kalau katanya bas atau train akan tiba jam 9.30, 9.30 lah, jika jam 12, jam 12 lah ia tiba. Dan akhirnya kau bisa mengatur rapi perjalanan seharianmu. Tapi itu hanya kisahmu sewaktu musafir dahulu.

Realitinya yang kau harus depani adalah seolah masa yang mengikatmu,masa yang menentukanmu. Lalu kau bergerak dan bertindak dengan membuntuti waktu.

Sudah lupakah kau akan pepatah melayu arab,

"Al waqtu kassayap, in lam tangkap, fatarbanga."

( Masa itu seperti sayap,sekiranya tidak ditangkap,maka terbanglah ia)

Pepatah asal,

الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك

(Waktu itu seperti pedang,sekiranya kau tidak memancungnya,maka dia yang akan memancungmu).

Sudah tidak lama.
Sama ada kau terus ingin memeluk liku-liku hidup, lalu membiarkannya membantingmu sepanjang perjalanan di dunia ini, bersedialah untuk dipersoalkan di akhirat nanti, "ke mana 24 jam seharianmu kau habis?".

Atau kau masih bisa memilih,
Untuk berhati-hati meredah liku-liku hidup,agar ia hanyalah cuba dan duga yang sementara dan kau bertambah gagah usai melepasinya.

Memilihlah.
Agar kau bisa membuat pilihan yang membuatkan kau semakin akrab dengan Tuhan.

Wednesday, October 21, 2015

Rohani yang lapar

Sudah hampir dua bulan pulang ke Malaysia,tetapi malam ini adalah kali pertama sepanjang pulang diizinkan Allah menghadiri kuliah maghrib di masjid.

Rasa dia macam, "ya Allah, lamanya tak hadir kuliah macam ini, masih lunakkah hati untuk menerima peringatan dan nasihat?"

Nyata rohani yang biasanya kenyang tiba-tiba lama dibiar haus dan berlapar pastilah merindui meski hanya bau makanan apatah lagi menjamahnya.

Seperti mana jasad pabila dibiar lapar,tak menentu makannya pun bisa sakit,apatah lagi rohani yang hakikatnya dialah yang memandu jasad sepanjang kehidupan ini.

Jasad yang tampak sihat,tapi rohaninya sakit,hakikatnya jasad juga sakit.

Seiringlah.
Dunia hanya persinggahan tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat kita menyemai hasil tanaman.

-Surau An-namira, Bukit Rimau-

Tuesday, October 20, 2015

Dan kita, bagaimana?

Tahun-tahun akhir di sekolah menengah sebelum SPM (2007),ada beberapa orang sahabat yang meminta disemakkan dan dibetulkan bacaan Alqurannya.

Saban hari selepas maghrib, kami duduk bersama di tepi musolla perempuan.

Setahun kemudian selepas selesai SPM dan saya telah pun memulakan pengajian di peringkat Diploma ,sebelum waktu subuh hari itu saya menerima mesej tentang kematian salah seorang sahabat yang sering meminta saya menyemak bacaan Alqurannya. Pagi itu juga saya merayu dengan warden asrama untuk pulang menziarahi jenazah sahabat tersebut.

Di usia 18 tahun,dia terlebih dahulu dipanggil pulang bertemu dengan kekasih teragung. Pemergiannya buat saya teringat-teringat akan usahanya untuk memperbaiki bacaan Alquran walaupun ketika itu sudah berada di tahun akhir sekolah menengah.

Tidak, tidak ada ungkapan terlewat dalam memperbaiki diri demi menjadi sebaik-baik hamba Tuhan.

Semoga Allahyarham Hafizah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

الله اغفرلها وارحمها

Dan kita, pengakhirannya bagaimana?

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة
ولا تختم علينا بسوء الخاتمة.