salam tazkir

" tidak ada yang bahaya bagi iman melainkan cinta kepada dunia dan tidak ada bahaya bagi hati melainkan tertarik kepada hiasan dunia. Maka, apabila hati telah hancur, apalagi yang akan dibanggakan oleh seseorang di hadapan Allah kelak?" -Imam Ahmad Bin Hanbal-

Monday, January 30, 2012

aku dan mereka

merengkok di buai senja duka,
rawan hati gelisah dek pancaroba yang datang bertimpa-timpa,
Tuhan, jiwa ini jiwa lemah,
dikuis sedikit pun sudah goyah

Tuhan,
jalan ini panjang
jauh dan berliku-liku,
bimbangku tak sempat sampai

Tuhan,
pasti jua ingin ku bawa bersama,
teman-teman dalam rantaian ukhuwah yang telah terbina
tuk mendaki langit cintaMu
dan pasti jua tidak ingin ku biarkan,
walau seorang dari keciciran dalam jalan dakwah ini...

Tarbiyah itu tegar mngelilingiku,
namun tegarkah untuk ku capai tangan-tangan mereka
untuk bersamaku menggapai cintaMu..??


~Ya,ukhuwah fillah itu hingga ke syurga! ~

Kelip-kelip~


kelip-kelip,kelip-kelip
lampu kamar segan
pejam celik,pejam celik,
bukan mata yang menahan..

semalaman ku biar,
akhirnya ia mati sendiri.

kelip-kelip,
pejam celik,
tiada lagi.


ku cari pengganti sementara,
menerangi bilik yang kelam,
tiada istilah romantik saat begini,
yang kelam tetap gelap,
pengganti pasti tidak sesempurna yang asal,
kerana itu ku ganti sementara.

Bukan tiada cahaya,
cuma yang menyerlah tidak terserlah,
malah kabur dalam seram yang menerjah

Perlukah selamanya begini??
meskipun adakalanya suram ini menghadirkan selesa buat diri

kini,
kelip-kelip,
pejam celik,pejam celik,
yang telah mati berminggu lamanya,
usaha mengislah berjaya
ia hadir bersama warna baru.

Cerah mula menemani warna malam,
kamar tidak sesuram semalam.

namun,
hakikat iman, 
tidakkan selamanya menerang,
andai dibiar kelip-kelip,
pejam celik,
atau kan terus terpadam..........

~Tuhan,izinkan aku pulang dengan cahaya iman~


Thursday, January 26, 2012

Tuhan dan dia

Menafsir resah di wajah tenang
sukarkah..?? 
air mukanya bukan seperti biasa, 
ada kerut musykil yang menghias,  
saat ditanya mengapa, 
jawabnya,  
Mohon Tuhan tenangkan hati saya. 
aku, dia, senyap, 
dan kerut, 
HILANG ~


Beratnya benar-benar menghimpit!
Tuhan, jalan ini yang terpaksa dilalui.

Fuh,selimut tebal seberat 8KG tu sahaja yang mampu membantunya mengurangkan kesejukan di musim sejuk ini. Atau adakah masih punya pilihan yang lain?

Tentang masalah yang beratus-ratus kilo beratnya pun,adakalanya diri terasa mahu lari jauh darinya.
Tapi apakan daya, masalah itu bagai merantai kaki dari berlari jauh.
Hakikatnya ia memang sentiasa ada!

Manis mana pun sesuatu perkara itu, pasti tetap ada pahitnya.
Gula jika diambil scara berlebihan, boleh membawa mudharat yang lain.
Begitu juga coklat dan manisan-manisan yang lain.
Lalu bermanisanlah sekadarnya.
Agar tiada hati yang terguris,
Tiada hati yang menangis..

Saat diri dibicarakan tentang masalah dunia yang berkepok-kepok memenuhi kocek diri,
Yang ada pada jawapan pada tiap soalan yang ditanyakan adalah,
"Ini adalah denda buatku.."

Huh,enteng saja memberi alasan.
Sedang jiwa terus berkocak pilu.

Ayuh,mari!
Aku bawakan satu misal tentang aku,dia dan Tuhan.

Lalu akan samakah cinta aku dan dia dengan aku dan Tuhan?
Harusnya tidak.
Tetapi dek kerana dunia membuaiku untuk terus lena dalam dakapan ukhuwah insani, sesekali aku terlupa tentang Tuhan.

Walhal, jika aku bandingkan antara dia dan aku, dengan Tuhan dan aku,
Pasti yang lebih cinta itu adalah yang kedua.
Tuhan dan aku.

Lalu mengapa resah,saat ukhuwah itu teruji?
Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula ukhuwah yang baru 3-4 tahun bersemi.

Lantas gagal dalam gelojak rasa saat rantaian ukhuwah dirosak dek kelemahan diri yang berlang-ulang kali.
Kerna itu resah menerjah.
Bimbang ukhuwah itu tidak ada lagi ruang untuk diri.

Tapi mengapa tidak kau soal saja pada diri tentang hakikat sebenar cinta...??
Atau kau termalu dek kealpaan yang menguasai dirimu?

Sungguh aku begitu..
Termalu dek kekurangan yang mencacat celakan diri.

Tapi di hujungnya,ada kesedaran yang berbisik.
Tentang TUHAN yang tak pernah melupakan aku walau sedetik.
Meski berhari-hari aku terlupa akanNya.

Sungguh, solat yang 5 kali sehari pun tak terdaya mengingatkan hati, andai diri membawa dunia dalam setiap rakatnya.
Lantas solat yang ditunaikan tidak mampu merawat hati yang resah berduka.

Kerna itu Tuhan menghantar cintaNya berbentuk ujian untuk mengetuk jiwa-jiwa yang sunyi sepi,
Sekadar makluman bahawasanya diri semakin jauh dgn Rabb.

Kembalilah..
Yang paling hampir denganmu sering kau tidak sedar akan kehadirannya.

Tuhan mahu kau kembali,
Serahkan perihal ukhuwah itu pada DIA.
Bukankah hati-hati itu DIA yang berhak ke atasnya..???


"kembalilah wahai jiwa-jiwa yang tenang...."


.

Monday, January 23, 2012

Pabila yang utama itu tidak ku temui



Berlari-lari..
Mengapa berlari?
Sedang diri masih punya pilihan untuk berjalan perlahan.
Atau mengatur langkah dengan ayunan yang sederhana.

Lalu mengapa memilih untuk berlari..??
Tidakkah bimbang tersungkurmu sukar untuk berdiri kembali..??



Saya, kamu, dia dan mereka.
Membuat keputusan itu bukanlah suatu perkara yang mudah, biasa-biasa atau boleh dibuat secara bermain-main.

Jika tidak difikir secara masak-masak, boleh jadi ia membawa kesan yang kurang baik pada diri dan orang sekeliling.

Setiap hari kita berhadapan dengan pilihan.

Ah,menangis sambil menghentak-hentakkan kaki pun belum tentu dapat membuat pilihan yang terbaik!

Huh, (mengeluh..?? tak baik..=,= )

Semalam saat di tingkap kamar kelihatan debu-debu putih bertebangan bersama angin yang menggigit tulang, terdetik di hati.

Salji kah?

Ya,benar salji sedang malu-malu mendarat di bumi mu'tah.

Mahu main?
Ah,siapa tidak mahu!

Walaupun tidak punya jaket kalis air dan kot tebal?
Erk..perlukah?

Ya,perlu demi menjaga kesihatan yang sejak akhir-akhir itu kurang stabil.

"jom teman saya pi Karak,nak amik barang yang mak saya pos dari Malaysia," seorang teman mengajak tiba-tiba.

"Hujan..," hati saya jua berbisik.

"jomla..entah-entah kat Karak salji lagi lebat..,"tidak berputus asa teman itu mengajak.

"salji tebal? Ya,baik. Jom kita siap!"  pantas sahaja keputusan dibuat tanpa masak-masak terlebih dahulu.

Hei,salji tak turun tau kat sini tahun lepas. Peluang bukan selalu datang.

Oh,ye?
mu'tah,karak,jordan.


Maka bersalji-saljianlah diri bersama hujan yang kesejukannya mencengkam ke tulang hitam!

Tuhan,ku kejar keseronokan ini dengan mengalpakan kesihatanku.

Kuyup baju yang sederhana tebal dan tidak kalis air itu. Kasut juga sudah berat dan licin.
Ais membeku di tapak kasut.
Oh,bagaimana mahu pulang. Salji bercampur lumpur memenuhi jalan.

Ah,peduli apa. Redah saja. Bukankah pilihan telah dibuat..???

Al-Hasil: Mengalami sakit kepala yang bukan kepalang. Allahhu akbar..

Tahniah disebabkan ketidak pekaan anda.

Ya,silap membuat pilihan, yang tersepit adalah diri sendiri.

Saat bertembung dua program yang bagi saya kedua-duanya OSEM, terasa berat kepala memikir.
Yang ini atau yang itu..??

Jua saat taklifat yang diamanahkan dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak kurang juga pentingnya.
Mahu menjerit?

Hahaha..itu bukan kerja orang cerdik. Ok,HARAP MAKLUM.

BUkan tidak pernah buku fiqh awlawiyat karangan Dr.Yusuf Qardhawi dikhatamkannya, tapi proses penghadaman sangat mengambil masa yang lama!

Oh,Tuhan. HambaMu ini sering tidak tegar membuat pilihan.
Lalu yang sering dilakukan adalah KESILAPAN dalam menentukan apa yang terbaik buat dirinya.

Mengapa sering tidak ketemu jawapannya......???????????????????

^_^ Be positive!

Cuba bayangkan hidup tanpa perlu membuat pilihan.

Ok,hari ini makan nasi putih.
Esoknya, nasi putih.
LUsa juga, nasi putih.

Hari ini ke kampus berbaju warna biru.
Esok juga begitu.
Lusa pun masih biru.

Kerana saya tidak mahu memBEBANkan otak saya untuk membuat pilihan.
Begitu? hahaha..indahkah?

Sungguh, DIA Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. =)

Pilihlah yang TERBAIK!
Hidup pasti berwarna-warni dan INDAH!

Bersangka baiklah dengan TUHAN. Dia Maha Tahu..^_^


Monday, January 9, 2012

Rilek r brader..~

Sebak..~


Ah,sket-sket rasa sebak!
Hidup ni bukan untuk bersedih semata-mata...!!


Tak salah pon sesekali menggembirakan hati..
Ni tak habis-habis layan sendu.
Bosan da..~
(bila akal bersuara..)


Oit, selamba jek ko cakap tak salah..!!
Masalahnya perkara yang menggembirakan hati tu dah buat kau jauh dari Tuhan..
Aduss...
Astaghfirullahhal 'azim..
(bila iman cam dah bengang...)


Rilek der..
Masalahnya ko pun suka sangat kacau line..
baru suka sket-sket,kau dah tersentaklah segala bagai..
weh,bosan la macam ni..!!
(akal..akal..)


Ah,biarkan..



Kau nak aku lagi kuat dari kau atau kau nak jadi lebih besar dari aku?
(ha,iman dah bagi pilihan tu..pilihlah der..)


........


Hari ini diri melihat dua kematian.


Yang pertama adalah kematian seekor ana kucing.


Yang kedua mungkin mak atau bapak kucing. (maaf,saya memang x terer nak teka jantina kucing,lagi-lagi yang dah mati.)


Saat terpandang akan kelibat bangkai yang masih kelihatan baru itu, terus wajah dipaling.
(Sangat sedih sebab tak mampu untuk uruskan jenazah kucing tersebut.)


1.sebab kematian tu berlaku tepi jalan raya yang sibuk.
2. Oh,memang geli + kesian + tak sanggup tengok.


Dah tu..?


Eh,lek lu der..


Ce ko pikir, agak-agak Tuhan sengaja ke mempertemukan kau dengan dua kematian dalam jarak masa yang tak sampai satu jam..


Erk..??


Jom..
Gi mana der..?


JOm imbas kembali solat-solat fardhu yang dah ditunaikan sepanjang hari ini.
Lek brader,solat fardhu je..


Subuh tadi..
Serius bukan subuh gajah. Aku solat time masjid baru lepas iqomah..


Zohor..?
Er..Tadi terlewat sket. Sibuk sket.


Pale hotak hang sket... Zohor masuk pukul 11.30tengahari, lu solat kul 1.45petang.
Lambat sket..?


Er,rilek r..serius esok aku tak buat lagi.
Tadi tu, emergency sangat. Aku masak untuk orang.Dah janji..


Asar..??
Tadi ko balik rumah pun masjid dah settle iqomah.
Asal ko tercongok je biar housemate-housemate ko gerak solat asar jemaah..?


Er,penat der. Aku settlekan keje aku lepas solat zohor tu.
Amik nafas jap. Tak sangka plak tak sempat nak kejar jemaah..


(wak lu...alasan..!!)


Maghrib tadi,
Alhamdulillah, masbuq 1 rakaat jer..


Huh..


Isyak baru tadi...?
Alhamdulillah.. dapat ikut 1 rakaat.


Erm..
Dah ada perancangan untuk hari esok..??


Of course ada.


Konfem esok ada lagi..?


Esok insya' Allah masih ada, tapi aku tak dapat jamin nafas aku ni sampai bila.. =,=



"Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan."  (Surat Al-Munafiqun:ayat 11)


Jadi kau sedar benda tu..??
Bagus..!


Terpulang kalau ko rasa solat ko tu dah mencukupi sebagai bekal untuk kau kembali pada Dia.
Ingat, orang tak masuk syurga sebab amalan,tapi sebab rahmat dan rahman Allah.


Kalau cenggini lagaknya ko menghadap Tuhan tetiap hari,..... huh, lu pikirla sendiri.



    "Dari Abi Hurairah, ia berkata: Rasulullah Saw. telah bersabda: "Amal saleh seseorang diantara kamu sekali-kali tidak dapat memasukkannya ke dalam surga." Mereka (para sahabat) bertanya, "Hai Rasulullah, tidak pula engkau?" Rasulullah menjawab, "Tidak pula aku kecuali bila Allah melimpahkan karunia dan rahmat-Nya kepadaku." (Riwayat Muslim; kitab Shahih Muslim, Juz II, halaman 528)

Astaghfirullahhal 'azim..

Tuhan,...
pimpin aku pulang kepadaMU..~~~~~~~~~~~

Friday, January 6, 2012

nikmat mana lagi yang ku dustakan?





Hati saya tersentak untuk kali ke berapa entah.
Tapi kali ini terasa bagai kuat sekali sentakannya setelah sekian lama saya terbuai dek fantasi yang banyak melalaikan saya.

Allahhu akbar...

Dua nikmat terbesar yang sering dilupai!

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w  telah bersabda : Dua nikmat yang sering diabaikan oleh kebanyakan manusia ialah waktu sihat dan masa lapang.(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).


-Nikmat sihat
-Nikmat masa lapang

Bukankah seseorang pemuda itu terbunuh dek masa lapangnya?
Dia sentiasa merasa senang dan bebas untuk melakukan apa sahaja pada waktu bila-bila sahaja.

Bukankah pemuda yang sempit masanya akan menyusun waktunya dengan sebaik mungkin agar segalanya dapat berjalan dengan baik meskipun ada yang tidak mampu dilaksanakan dek masa yang terlalu singkat.

Bukankah hakikatnya kewajipan itu melebihi masa yang ada.

Percayakah jika saya kata, saat ini kita merasa kosong sekali. Bosan. Tidak tahu mahu buat apa.

Dan dalam masa yang sama, bersusun kitab-kitab dan buku-buku ilmiah di rak buku yang masih belum terbaca.

Dan dalam masa yang sama juga, kita memiliki sahabat yang mempunyai masalah moral.

Lalu,dengan keadaan yang sebegitu runcing,kita masih menyatakan kekosongan kita?

Ah,kalut.

Kalut kerana kita tidak mampu membaca kewajipan kita yang tertutup dek angan-angan dan perkara-perkara yang melalaikan.

Dan akhirnya, masa yang dirasakan kosong itu, dihabiskan dengan menonton movie, facebook, mengumpat dan sebagainya. Naudzubillahhi min zalik.

Air yang statik itu lebih mudah kotor berbanding air yang  mengalir.  Tak percaya?  Cubalah..


Kita tidak ada masa kosong sebenarnya. Salah satu daripada ciri-ciri peribadi muslim itu kan yang terurus urusan dan masanya?

Banyak lagi rupanya yang kurang.. (berbicara dengan diri sendiri)

Alhamdulillah jika kita sedar dan ada usaha jua tindakan. Jika sekadar sedar tanpa tindakan..?

Meh sini aku lesing sket..!! (ops,adegan ini hanya untuk diri sendiri...^_^)

SEbelum masa semakin jauh berlari meninggalkan kita, ayuh kita kejar ia dengan kewajipan-kewajipan yang masih tertangguh..!

Biar kita seiring sejalan dengan waktu yang berlalu.
Agar tiada lagi penyesalan seperti pepatah, menangis tidak berlagu!


Monday, January 2, 2012

biar rindu ini hadir tanpa resah~

Detik terus berlalu
Laju dan terus melaju
Berputar dan terus berputar
tetap pada paksi yang sama
begitu jua bulan, matahari dan bumi.
Kitarannya tetap di paksinya,
cuma beralih sedikit dari jalurnya,
maka binasalah
bumi, bulan, matahari..
dan angkasa seluruhnya kan menjadi kacau bilau.

bukankah ciptaan Tuhan itu teliti sifatnya?

Saat Tahun 2012 menjengah,
ada rindu yang menggamit,
ada resah yang bertandang..

mengapa rindu itu hadir berteman resah?

Meminggir kerana merasakan diri terpinggir,
menyisih kerana merasa diri tersisih,
rasaku itu bukan yang jalan yang terbaik.

menjauhmu,
buat aku bimbang,
sepimu,
buat aku gusar.

Ya,kita memang jauh.
Lautan dan daratan memisahkan kita,
tapi bukankah hanya jasad yang terpisah?
lalu, mengapa menghindar sejauh-jauhnya..?

Semalam,
mimpiku kau datangi.
ada senyum luka yang menghias wajah dukamu,
bukankah pernah ku ingatkan bahawa Dia sentiasa ada untuk kita...?

Maaf kerana tidak sempat untuk membantu sebelum pergi,
dayaku mungkin sekadar itu,
kerana itu Allah memisahkan kita buat seketika waktu.

Dan rindu ini, 
akan ku rawati dengan doa buatmu.

Pesanku,
belajarlah menjadi dewasa adikku,
dunia sudah meningkat tua,
hari kita sudah tidak lama.
Anggap sahaja ummi,abah, aku dan mereka,
cuma wasilah untukmu..
wasilah untuk kita semakin dekat denganNya..

Biar rindu ini bercambah,
hari-hari bertandang pun aku pasrah,
tapi bukan diiringi resah,
kerana selamanya, aku tetap kakakmu.

Maafkanku dari kejauhan ini....

Di mana pun kita terpisah,kalian tetap adik-adikku..